suria

Hans Isaac sahkan sudah jalani temuduga Pengerusi Finas

Hans Isaac

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Hans Isaac mengesahkan dia telah dipanggil dalam satu sesi temuduga bagi mengisi jawatan Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Bagaimanapun Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 47, masih belum mendapat keputusan sama ada dia terpilih atau tidak bagi menjawat jawatan itu.

“Memang benar saya ada menghadiri sesi temuduga untuk jawatan tersebut sebulan yang lalu dan nama saya juga sudah termasuk dalam senarai pendek.

“Tetapi keputusan siapa yang bakal memegang jawatan itu belum diumumkan. Saya juga tidak tahu bila keputusan itu akan diumumkan.

“Buat masa sekarang, saya tak boleh beri komen mengenai perkara itu. Sebab saya belum pasti siapa yang akan pegang jawatan itu,” katanya kepada mStar Online.

Hans ditemui ketika sidang media memperkenalkan 12 peserta program Dewi Remaja 2018/2019 di Hard Rock Cafe, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, berita mengenai penerbit itu bakal memegang jawatan tertinggi di FINAS mula diperkatakan sejak Oktober lalu.

Jawatan berkenaan kosong selepas penyandangnya iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim River, Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meletak jawatan selepas pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum ke 14 lalu.

Dalam pada itu, Hans berkata sekiranya diberi peluang menerajui agensi itu, dia ingin melaksanakan 15 dasar bagi membuat pembaharuan struktur industri perfileman negara yang dilihat kritikal.

“Kalau diberi peluang, paling utama saya akan membuat perubahan seperti mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk penggiat seni tanah air.

“Sebabnya, saya sudah lama menyuarakan perkara ini. Bagi saya, kebajikan anak-anak seni perlu diutamakan dan saya akan pastikan kesamarataan kepada pengiat-pengiat seni,” ujarnya.

Hans Isaac, Finas

Artikel Lain