KUALA LUMPUR: Penyanyi Najwa Mahiaddin memberitahu dia bertindak menukar nama komersialnya kepada NJWA kerana ingin melakukan perubahan dalam karier seninya. Kata NJWA, penukaran itu juga dibuat bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan bidang muzik digital pada hari ini tiada sempadan. “Sebenarnya terlalu banyak penyanyi bernama Najwa dan saya pernah disalah anggap sebagai penyanyi berasal dari Lubnan. “Nama sebelum ini pun agak panjang... Kalau saya ke luar negara untuk buat persembahan ramai susah mengingati nama saya. NJWA tampil dengan single terbaharu duet bersama kumpulan MonoloQue. “Penjenamaan semula ini juga dilakukan kerana muzik sudah tiada sempadan dan nama saya dieja tanpa huruf A agar ia senang diingati dan membuat carian di internet atau aplikasi muzik,” katanya. NJWA ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video single terbaharunya yang berjudul Chinta pada Rabu. Ia adalah lagu duet bersama MonoloQue untuk album terbaharu mereka yang berjudul Lagu Perang (Bunyi-Bunyian Gamelan Malaysia Abad ke-21). NJWA bakal berangkat ke Jepun untuk mengadakan mini showcase. Bercakap mengenai Chinta, NJWA berkata, dia sangat tertarik dengan lagu tersebut yang mengangkat muzik gamelan. Katanya, dia tidak menghadapi kesukaran ketika merakamkan lagu tersebut kerana memang meminati muzik tradisional sejak kecil. “Lagu ini sebenarnya kami rakam pada 2015 tetapi kerana Loque mahu memastikan lagu-lagu itu dihasilkan dengan baik selain mahu mendalami dan memahami gamelan itu sendiri jadi ia mengambil masa agak lama. “Pun begitu hasilnya sangat memuaskan hati dan saya sendiri pun memang gemarkan lagu tradisional asli seperti gamelan,” ujarnya. Njwa dan MonoloQue duet dengan lagu Chinta. NJWA turut memberitahu dia berharap lagu Chinta dapat menarik perhatian pendengar terutamanya dalam kalangan generasi muda dalam mengenali muzik tradisional dan gamelan. Dalam perkembangan lain, Njwa memberitahu dia akan berangkat ke Tokyo, Jepun pada 2 November ini bagi mengadakan empat showcase dalam memperkenalkan muziknya di sana. Katanya, dia juga akan mempersembahkan beberapa lagu tradisional seperti Togok, Seri Mersing dan Chinta dalam memperkenalkan muzik tempatan di Jepun.