RAJA Pop Datuk Jamal Abdillah mendedahkan isterinya Zai Izzati Khairuddin, 24, sudah tiga kali mengalami keguguran sejak setahun lebih menjalani alam rumah tangga. Jamal berkata, dia kini membawa isterinya mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). "Sehingga kini belum ada rezeki zuriat lagi kerana sudah tiga kali keguguran. "Saya sudah membawa dia berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan dan kuatkan rahim," ujarnya kepada mStar Online. Jamal ditemui pada sidang media konsert Duo Lagenda Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah yang bakal berlangsung pada 20 hingga 23 Disember ini di Panggung Sari Istana Budaya. Izzati yang berasal dari Kulim, Kedah dan Jamal bernikah di Ipoh, Perak pada 1 April tahun lalu. Jamal dan isteri masih mencuba untuk mendapatkan zuriat. Ini merupakan perkahwinan keempat buat penyanyi lagu Azura ini. Sebelum ini, Jamal berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Dalam pada itu, bercakap tentang kehidupan rumah tangga, Jamal berkata, kehidupannya kini lebih tenang dan teratur. "Seperti orang lain badan saya makin berisi, hidup lebih tenang dan semuanya teratur sahaja. "Dia ada datang tapi duduk seorang-seorang kerana tiada kawan, kesian juga kalau bawa dia ke majlis hiburan kerana dia masih belum biasa," ujarnya. Mengenai konsert berkenaan kata Jamal, pada malam pertama satu segmen amal akan diadakan bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali iaitu isteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyampaikan sebuah lagu secara santai. Jamal Abdillah. "Kita mengajukan cadangan ini kepada Tun M dan Tun Siti Hasmah, tidak sangka mereka terima dan sudi untuk membantu dalam kutipan dana amal tersebut. "Tun Siti akan bermain biola untuk lagu Gubahanku yang kami sampaikan secara santai sahaja," ujarnya. Konsert yang berdurasi selama dua jam itu bakal menyaksikan mereka membawa lapan lagu popular masing-masing. Manakala penyanyi undangan Cassidy Anderson akan menyampaikan tiga buah lagu termasuk duet bersama Jamal dan M Nasir. Tiket menyaksikan konsert ini dijual daripada RM158 sehingga RM1,500. Ia boleh didapati dengan menghubungi 03-21706333.