suria

Hampir 3 minggu Nad Zainal minta suami keluar rumah

Suami menyokong karier seni Nad Zainal. Foto Instagram @nad.zainal

DEMI menghidupkan karakter wanita autisme dalam telefilem Fatonah Azali, pelakon Nad Zainal memberitahu dia pernah meminta suaminya iaitu Muhammad Faliq Amirudin untuk tidak berada di rumah semasa dia membuat kajian watak tersebut.

Nad berkata, dia terpaksa melakukan hal itu kerana tidak mahu Faliq melihat cara dia menjiwai watak berkenaan kerana bimbang menganggu proses tersebut.

"Hampir tiga minggu saya buat kajian watak Fatonah itu di rumah, kalau ada suami saya tak boleh nak study, jadi saya minta suami keluar melepak dengan kawan-kawan dia.

"Saya minta dia lepak dengan kawan dan jangan tengok saya belajar watak autisme itu. Saya memang tak boleh kalau ada suami tengok cara saya berlakon.

Nad dan suami, Muhammad Faliq bersama trofi kemenangan.

"Semasa penggambaran pun dia tak tahu apa berlaku, kalau dia tanya perkembangan shooting saya suruh tengok di Instagram sahaja," katanya kepada mStar Online.

Nad Zainal ditemui sejurus pengumuman pemenang Anugerah Skrin 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Menerusi Fatonah Azali, aktres berusia 27 tahun ini meraih trofi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Telefilem arahan Shuhaimi Lua ini turut dibintangi Redza Rosli, Raja Azura, Sharifah Sakinah, Mustaqim Bahadon, Zaibo dan Kay Maria.

Pelakon utama telefilem Fatonah Azali, Redza Rosli dan Nad Zainal.

Sementara itu, Nad memberitahu bukan mudah membawakan watak seorang pesakit autisme kerana ia bermain dengan emosi yang berat.

Justeru itu, dia menjadikan anak lelaki kepada pelakon Zarina Zainuddin sebagai rujukan bagi memastikan lakonannya itu benar-benar hidup.

"Saya belajar cara dan pergerakan anak Kak Zarina (Zainuddin) dan adik Adam yang berdepan autisme.

"Saya mahu karakter Fatonah itu memang betul-betul seperti pesakit tersebut dan bukan cipta sendiri tanpa kajian.

"Mulanya memang agak susah, tapi bila dah dapat rentak semuanya mudah dan berjalan lancar," ujarnya.

Dalam pada itu pengarahnya Shuhaimi Lua Abdullah berkata, Nad menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membawa watak besar itu dan tidak hairanlah dia diumumkan sebagai pelakon wanita terbaik.

Katanya, Nad tidak segan untuk berbincang dalam setiap adegan yang dilakonkannya selain banyak membuat latihan dan kajian mengenai watak yang dibawanya itu.

"Ia bukan watak yang mudah untuk dilakonkan jika tiada penghayatan sebenar kerana watak wanita autism itu memerlukan kajian mendalam dan Nad dapat melakukannya," ujar Shuhaimi. 

Nad Zainal, ASK2018

Artikel Lain