suria

“Saya akan ambil tindakan sekiranya dia terus berdiam” - Shiha Zikir

Shiha minta rakannya melangsaikan hutang yang dipinjam. Foto Instagram: @shihazikir.

PENYANYI Shiha Zikir tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap rakannya yang masih belum melangsaikan hutang yang dipinjam sebelum ini.

Shiha, 29, berkata dia berasa tertekan dengan sikap individu tersebut apabila cuba melarikan diri daripada menyelesaikan masalah.

"Saya akan ambil tindakan seterusnya jika dia masih lagi mengelak dan cuba melarikan diri daripada melangsaikan hutang sepenuhnya.

"Memang dia ada bayar hutang pada saya tapi belum langsaikan semua. Saya jadi tertekan dan geram dengan perangai dia yang suka larikan diri dan tak bertanggungjawab.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tolong liat nak bayar, Shiha dituduh pakai barang tiruan


Shiha minta individu tersebut menghubunginya segera.

"Saya dah cuba minta baik-baik tapi dia tukar nombor telefon dan cuba lari daripada masalah," katanya ketika dihubungi mstar Online.

Shiha diminta mengulas mengenai status kemarahan terhadap individu yang tidak membayar hutangnya menerusi laman Instagram.

Menerusi status tersebut, pemilik nama Nurshiha Mohd Zikir ini sudah lama bersabar dengan individu yang enggan melangsaikan hutang.

Menurut Shiha, dia akan memuat naik foto individu tersebut sekiranya lelaki itu masih mendiam diri tanpa menghubunginya.

"Bila diam awak makin menjadi eh. Hutang tak habis lagi tau. Nak suruh sabar sampai berapa tahun?

Shiha geram dengan perangai individu yang berhutang dengannya.

"Ramai saja lagi kawan-kawan hutang tapi dah halalkan sebab tak mampu bayar. Saya faham, tapi dengan cara awak yang suka menipu dan lari dari masalah ini, saya rasa saya kena minta juga sampai dapat.

"Hubungi saya secepat mungkin kalau tak nak, saya muat naik gambar kat sini. Niat saya post sebab nak tahu lokasi awak kat mana.

"Saya hubungi bini (isteri) awak pun dah tak berangkat. Apa cerita?" tulisnya.

Shiha sudah memberi tempoh seminggu kepada seorang rakannya untuk membayar semula hutang yang pernah dibuat oleh individu itu pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini rakannya itu masih berdiam diri dan menghilang apabila diminta untuk membayar hutang berkenaan.

Shiha Zikir

Artikel Lain