suria

Tiada sewa-menyewa dalam ‘Isteri Untuk Disewa’, kena tonton dulu - Osman Ali

Drama Isteri Untuk Disewa menampilkan pelakon Fattah Amin dan Tiz Zaqyah.

PETALING JAYA: Pengarah drama Isteri Untuk Disewa, Osman Ali menjelaskan tiada sebarang unsur sewa menyewa isteri dalam drama arahannya itu seperti mana disalah tafsir sesetengah pihak.

Osman bagaimanapun mengakui drama adaptasi novel karya Syamnuriezmil itu boleh disalah anggap sekiranya tidak membaca atau menonton keseluruhan ceritanya.

"Saya akui tajuk novel dan drama itu boleh disalahtafsirkan jika tidak menonton atau membaca keseluruhan cerita.

Osman Ali.

"Dalam cerita ini langsung tiada unsur sewa menyewa isteri cuma tajuk tersebut telah mengundang orang ramai untuk tersalah tafsir dengan tema cerita," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Terdahulu pada Khamis, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur berhubung tajuk dan jalan cerita drama berkenaan kerana hukum menyewa isteri adalah haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti tegur drama Isteri Untuk Disewa

Zulkifli berkata, tajuk drama berkenaan sekiranya difahami secara zahir amat bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah, begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

Isteri Untuk Disewa menampilkan barisan pelakon Fattah Amin dan Tiz Zaqyah dan ditayangkan menerusi saluran Astro Ria.

Mengulas mengenai pandangan Zulkifli, Osman berkata, dia berterima kasih selain sangat menghormati teguran dibuat oleh pihak mufti berhubung isu tersebut.

"Terima kasih atas teguran pihak mufti dan cara teguran amat berhemah. Bagi saya pihak mufti telah menjalankan tanggungjawab sebaiknya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur drama Isteri Untuk Disewa.

"Apa-apa pun pihak mufti telah memberikan pandangan dan teguran yang baik maka saya amat menghormati," ujarnya.

Dalam pada itu, Osman berkata, sebelum ini pihaknya pernah terfikir untuk menukar tajuk drama berkenaan namun memilih mengekalkan keaslian adaptasi daripada novel.

"Sebelum ini kami semasa proses sebelum penggambaran pernah terfikir untuk menukar tajuk tetapi memandangkan ia adalah tajuk asal novel maka kami tidak tukar demi mengekalkan originaliti.

"Saya ada juga menyimpan beberapa tajuk lain sekiranya perlu ditukarkan sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Osman meminta netizen yang tidak pernah membaca atau menonton drama tersebut agar memahami jalan ceritanya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang bentuk kecaman di media sosial.

"Langsung tiada unsur sewaan isteri dalam novel dan juga drama ini sebaliknya hanya berkisarkan seorang wanita yang diupah untuk menyamar sebagai isteri.

"Hanya menyamar depan ayah dan ibu buat sementara dia bertemu jodoh sebenar," ujarnya.

Tambah Osman, isu membabitkan drama tersebut juga diharap dapat menjadi pengajaran kepada semua penulis novel serta penerbit drama termasuk stesen televisyen agar lebih sensitif dalam memilih tajuk sesebuah drama.

Artikel Lain