VOKALIS kumpulan XPDC, Ali berkata kini sudah tiba masanya mereka menyampaikan lagu dalam bentuk dakwah untuk peminat. Menurut Ali atau nama sebenar Mohd Ali Ismail, 50, pentas nyanyian merupakan platform terbaik untuk dia dan rakan-rakan menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat. "XPDC baru sahaja muncul dengan album DOA (Dakwah Only Allah) untuk peminat kami di luar sana. "Doa adalah album studio terbaharu daripada kami yang mana menerusi album ini, lirik-lirik lagu menjurus ke arah ketuhanan. "Usia kami pun dah meningkat, takkan masih nak menyanyikan lagu cinta, peminat pun rata-rata dah sama usia kami, pasti mereka dapat terima lagu begini," katanya kepada mStar Online. XPDC mahu berdakwah dalam lagu. Kumpulan XPDC dianggotai oleh Ali selaku vokalis, Izo (gitaris), Eddie (bass), Lola (drum) dan Arif (gitar). Meskipun genre kini lebih kearah kerohanian, Ali memberitahu mereka masih aktif membuat persembahan di pentas nyanyian. Secara tidak langsung ia menjadi peluang untuk mereka mengembangkan dakwah melalui lagu tersebut. "Persembahan macam biasa, tak ada masalah tentang itu kerana melalui muzik kita boleh berdakwah kepada peminat dan masyarakat. "Sama ada orang terima atau tidak, itu kerja Allah. Moga Allah memberi hidayah melalui lagu-lagu yang disampaikan dan bermanfaat untuk kita semua," katanya. Dalam perkembangan yang lain, XPDC bakal mengadakan persembahan di Konsert Evolusi PJ 2018 yang akan berlangsung di Dataran Petaling Jaya, Selangor pukul 8 malam ini. Konsert turut diserikan dengan persembahan artis popular lain antaranya Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop, Aina Mentor dan Maynine Band. Bercakap mengenai karnival International Folklore Festival 2018 atau lebih sinonim dengan panggilan Karnival Petaling Jaya (PJ Fair), Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pemilihan barisan artis ini dirasakan tepat kerana masing-masing popular dan mempunyai kekuatan tersendiri. "Semua mereka dikenali peminat. Mengambil contoh XPDC baru sahaja melancarkan album terbaru berjudul Doa. "Sudah tentu peminat setia kumpulan heavy metal nombor satu negara ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan daripada mereka. "Ia adalah peluang keemasan buat warga Petaling Jaya untuk meluangkan masa menonton bersama keluarga dan konsert ini diadakan secara percuma," katanya. Selain konsert, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan etnik sembilan negara yang terlibat. Mereka terdiri daripada program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organisations (CIOFF) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan UNESCO. Aktiviti lain yang turut diadakan dalam festival ini adalah persembahan kebudayaan, pelbagai pertandingan termasuk memancing, larian dan pelbagai lagi.