suria

“Rindu kacau emosi, bajet rendah pun tak apa” – Umie Aida

Umie tidak akan menolak tawaran lakonan jika skrip yang diberikan baik.

JARANG muncul di televisyen dan layar perak membuatkan ramai peminat menyangkakan pelakon Datin Seri Umie Aida tidak lagi aktif dalam bidang lakonan.

Menjawab persoalan tersebut, Umie, 45, berkata dia sebenarnya masih berada dalam industri namun mengakui agak memilih watak.

"Orang selalu ingat saya tak nak berlakon lagi, itu tanggapan mereka tapi sebenarnya saya nak skrip dan watak yang bagus.

"Kalau skrip itu bagus saya tak mungkin tolak, sebab itu jika ada tawaran berlakon, saya nak tengok skrip dulu sebelum bersetuju.

Umie tengok skrip dahulu sebelum bersetuju berlakon.

"Kenapa saya pilih skrip, sebab saya mahu watak itu kedepan kerana bila bekerja saya akan bagi sepenuhnya, jadi skrip yang akan menentukan sama ada apa yang saya beri itu berbaloi atau tidak," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Umie memberitahu soal harga dan bayaran bukanlah penyebab dia menolak sesuatu tawaran lakonan.

Sebaliknya, dia memberikan keutamaan kepada watak yang benar-benar baik dan berkualiti.

"Ada juga orang fikir kalau ambil saya berlakon mungkin kena bayar mahal. Tidak juga kerana saya tak kisah jika projek itu bajet rendah sekalipun.

Umie bakal melangkah ke bidang pengarahan.

"Asalkan skrip yang diberi itu bagus. Senang kata kalau skrip baik, saya akan kalah di situ,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Dukun ini mengakui rindu membawa watak berat dan mencabar.

Baginya, lakonan adalah peluang untuk dia bermain dengan emosi dan menterjermahkan pengalaman hidup dalam watak tersebut.

"Saya rindu watak-watak yang berat sebab seronok nak kacau emosi dan terjermahkan segala pengalaman hidup dalam lakonan.

"Cumanya faktor usia ni tenaga dah kurang tak boleh nak shooting lama-lama," katanya yang bakal menceburi bidang pengarahan selepas ini.

Umie Aida

Artikel Lain