PETALING JAYA: Pelakon Azhan Rani terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM10,000 apabila pernah menjadi mangsa sindiket penipuan wang haram kira-kira tiga bulan lalu. Azhan berkata, dia terpanggil untuk bercerita mengenai kejadian itu kerana melihat sindiket itu masih bergiat aktif dengan modus operandi meyakinkan sehingga ramai masih terpedaya. "Jujurnya modus operandi mereka sangat bagus. Saya sendiri pada awalnya langsung tak rasa seperti kena tipu kerana apa mereka katakan sangat meyakinkan. "Meskipun kejadian itu telah lama berlaku tetapi rasa perit itu masih ada namun saya anggap bukan rezeki saya. "Saya tertarik untuk menceritakan hal ini pun kerana sedar masih ramai terpedaya dengan sindiket ini jadi harap-harap kisah saya ini dapat jadi pengajaran juga kepada orang lain," katanya ketika dihubungi mStar Online. Pendedahan Azhan di Twitter miliknya. Bercerita mengenai pengalaman pahit itu, Azhan berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sekitar pukul enam pagi sebelum menerima mesej kononnya daripada pihak sebuah bank. Dalam keadaan tertekan dan keletihan, Azhan memberitahu dia menghubungi nombor yang tertera bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan dia menggunakan kad kredit membeli barang di sebuah lapangan terbang walaupun tidak pernah mempunyai akaun bersama bank terbabit. "Ketika itu saya memang terkejut kerana tidak pernah buat sebarang pembelian seperti dikatakan dan dalam keadaan letih, tertekan memang saya marah dan menelefon nombor yang tertera dalam SMS itu. "Jujurnya saya tidak rasa seperti ditipu kerana SMS yang dihantar juga standard seperti mana kebiasaan bank menghantar pesanan kepada pelanggan malah saya dapat bercakap dengan pegawai perkhidmatan pelanggan berhubung masalah saya. "Cara mereka menjelaskan situasi itu juga cukup menyakinkan malah saya dirujuk pula kononnya kepada pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia malah mereka memberikan maklumat peribadi dan perbankan saya dengan tepat," katanya. Cerita Azhan lagi, sindiket itu cukup licik apabila memintanya mengemas kini akaunnya di mesin ATM dan proses itu dibuat secara berperingkat selama dua hari agar penipuan mereka tidak dihidu. Azhan berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan. "Saya tak sedar pun sebenarnya saya pindahkan wang kepada mereka kerana taktik mereka minta saya kemas kini akaun di mesin ATM secara berperingkat dengan diawasi oleh pegawai penyiasat bank negara yang 'berlakon' menerusi telefon. "Masa mengemas kini itu dia minta saya tukar kata laluan dan saya mengikut arahan dia masukkan kod dan nombor tertentu. "Proses ini mereka lakukan secara berperingkat iaitu selama dua hari bagi mengelakkan saya tersedar sedang ditipu dan kemudiannya barulah saya sedar wang dalam akaun sudah tiada," katanya. Kata Azhan, dia yang masih berfikiran positif cuba menelefon kembali pegawai berkenaan namun ia tidak berjawab sebelum rakannya yang juga pelakon Beto Khusyairi mendapatkan nombor sebenar Bank Negara. "Ketika itulah saya sedar sudah ditipu kerana apabila menelefon Bank Negara mereka memberitahu pihak mereka tidak pernah ada pegawai penyiasat. "Saya ada buat laporan polis dan pegawai dari bahagian jenayah siber ada beritahu itu sebenarnya akaun luar negara yang saya pindahkan tetapi sukar untuk mendapatkan kembali wang tersebut kerana mereka ini licik," katanya.