suria

Tiada barang mewah, Azrel Ismail kumpul wang beli rumah

Azrel Ismail memberitahu dia bukan seorang yang boros. Foto AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Pelakon Azrel Ismail memberitahu statusnya sebagai seorang selebriti bukan alasan untuknya bersikap boros terutamanya dalam membeli barangan berjenama semata-mata untuk kelihatan bergaya dihadapan orang lain.

Sebaliknya kata Azrel, 33, dia menyifatkan dirinya sebagai seorang yang ringkas dan lebih gemar menyimpan wangnya daripada membeli barangan mewah.

"Jujurnya saya bukan seorang yang gemarkan barangan berjenama... Kalau tak berjenama pun tetapi ia cantik saya akan guna juga.

"Barang yang paling mahal saya pernah beli pun beg duit jenama Gucci, itu pun saya beli di sebuah outlet ketika menjalani penggambaran di Itali," katanya.

Azrel bergandingan dengan Nina Iskandar dalam Isteri Dalam Sangkar.

Azrel ditemui pada sidang media pelancaran drama Isteri Dalam Sangkar yang diadakan pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Azrel berkata, dia bukannya seorang kedekut dalam berbelanja tetapi bersikap cermat kerana memasang impian untuk membeli sebuah rumah sebelum usianya mencecah 35 tahun.

Katanya, sejak menceburi bidang lakonan dia sentiasa memastikan lebihan wang yang diperolehi hasil daripada lakonan akan disimpan dalam sebuah akaun khas bagi membeli rumah.

"Kebiasaannya setiap bulan saya akan pastikan sebahagian wang lakonan saya akan dimasukkan dalam akaun itu selepas menolak perbelanjaan bulan dan bil yang perlu dibayar.

Barisan pelakon Isteri Dalam Sangkar. 

"Zaman sekarang harga rumah bukannya murah dan jika saya tidak disiplin menyimpan rasanya sampai ke tua belum tentu saya dapat memiliki sebuah rumah.

"Tidak mengapa saya berkorban... Ia untuk masa depan selain persediaan sebelum mendirikan rumah tangga," jelasnya.

Bercakap mengenai Isteri Dalam Sangkar, Azrel berkata, drama itu memberi cabaran kepadanya kerana wataknya sebagai Tengku Iskandar memerlukan dia bermain dengan emosi yang berat.

Malah kata Azrel, menerusi drama itu juga dia perlu menangis dan ia bukan tugas yang mudah.

Azrel bergambar dengan peminat. 

"Bayangkan ada babak yang dirakamkan sekitar tiga pagi dan saya perlu menangis... Memang sukar tetapi saya anggap itu adalah cabaran dalam mematangkan saya sebagai pelakon.

"Drama ini juga sarat dengan konflik serta pengajaran yang membuatkan saya tertarik untuk menerima tawarannya," katanya.

Selain Azrel, drama 30 episod arahan Ejump Mohd itu turut menampilkan Nina Iskandar, Aidil Aziz, Aishah Azman, Sherry Merlis, Ungku Haris dan Nazia Mustaffa.

Ia sedang disiarkan menerusi HyppSensasi (Unifi TV 116) dan Play TV @Unifi pada setiap Rabu dan Khamis, 9.30 malam.

Azrel Ismail

Artikel Lain