PETALING JAYA: Berita kematian seorang bayi perempuan akibat didera fizikal dan seksual baru-baru ini mengundang rasa marah masyarakat termasuk pelakon Idzham Ismail. Idzham, 30, memberitahu dia tidak dapat membayangkan individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu sanggup mendera bayi malang sambil mendengar jeritan dan tangisannya. "Sanggup mereka yang mendera ini dengar jeritan dan tangisan bayi masa tu? Antara luahan Idzham di InstaStory. "Apa dah jadi dengan manusia sekarang? Bayi yang kita tengok boleh sejukkan hati, penawar ibu-bapanya waktu sedih... Bayi yang jadi anugerah Allah kepada mereka, pelaku sanggup lakukan sebegitu?," katanya menerusi Instagram. ARTIKEL BERKAITAN: "Selagi kes Zara tidak selesai, selagi pelaku tidak dihukum, saya takkan berasa tenang" Bayi malang itu, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, 11 bulan, dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri. Nur Muazara meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang selepas dibawa sendiri pengasuh dan suaminya. Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, 11 bulan dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri. Idzham yang merupakan seorang bapa kepada anak perempuan, Nur Sofea Inara yang kini berusia 18 bulan turut menyeru individu yang bergelar pengasuh agar lebih amanah dan bertanggungjawab dalam menjaga anak orang lain. Kata Idzham, beberapa kejadian melibatkan kecuaian pengasuh sehingga menyebabkan kematian turut memberi kesan kepada pengasuh lain yang ikhlas dan bersungguh-sungguh membantu menjaga anak orang lain. "Kita tengok anak sendiri menangis nak susu pun tak sanggup. Kasihanilah bayi-bayi ini, diberikan amanah dan tanggungjawab untuk jaga anak orang, buatlah dengan betul. Idzham berharap pihak berkuasa mengambil tindakan setimpal terhadap pesalah. "Jangan fikir duit sahaja semata-mata, kalau tak boleh jaga anak orang jangan buat. Secara tidak langsung perbuatan ini memberi kesan kepada pengasuh lain yang memang bersungguh buat kerja ini," ujarnya. Sementara itu, Idzham berharap, pihak berkuasa akan memberi hukuman setimpal kepada tertuduh kerana ia melibatkan nyawa bayi tidak bersalah. "Beratkan hukuman supaya masa akan datang mereka takut untuk buat kesalahan dan kurangkan kes seperti ini. "Sama juga dengan pelaku membuang bayi, berikan hukuman berat dan luaskan lagi pemahamn mereka untuk sumber-sumber yang boleh mereka pergi untuk serahkan bayi mereka dari membunuh bayi tak bersalah," katanya.