PETALING JAYA: Penyanyi dan bintang YouTube warga Australia, Cassidy Anderson, menyifatkan peluang bergandingan dengan Datuk M. Nasir dan Datuk Jamal Abdillah menerusi Konsert Duo Lagenda di Panggung Sari, Istana Budaya pada Disember ini sebagai mimpi jadi kenyataan. Cassidy berkata, setahun lalu dia pernah meluahkan impian tersebut kepada ibunya untuk beraksi di pentas berprestij itu dan tidak menyangka impian itu bakal terlaksana. "Tahun lepas ketika menaiki Grab bersama ibu saya, kami melintasi Istana Budaya dan saya beritahu ibu yang saya akan mengadakan persembahan di situ suatu hari nanti. "Saya tidak tahu bagaimana untuk menjadikan ia kenyataan tetapi impian saya untuk berada di pentas itu. Konsert Duo Lagenda bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya Disember ini. "Setahun kemudian, di sini saya, berdiri dalam Panggung Sari membuat persediaan untuk Konsert Duo Lagenda di mana saya akan mengadakan persembahan dan berduet dengan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir untuk empat malam bulan hadapan," katanya. Cassidy turut memuat naik video dia berada dalam Panggung Sari sambil berpesan kepada peminat untuk hadir ke konsert itu. Konsert Duo Legenda akan diadakan pada pada 20 hingga 23 Disember ini di Panggung Sari Istana Budaya. Dalam pada itu, Cassidy berkata, ibunya percaya dia dapat merialisasikan impian itu malah sempat berpesan agar mendapatkan tiket untuknya ke acara itu. Impian Cassidy untuk beraksi di Istana Budaya akhirnya terlaksana. "Ibu memberitahu dia menyokong dan percaya saya akan mencapai cita-cita itu dan berpesan agar jangan lupa menjemputnya," ujarnya. Konsert yang berdurasi selama dua jam itu bakal menyaksikan mereka membawa lapan lagu popular masing-masing. Manakala penyanyi undangan Cassidy Anderson akan menyampaikan tiga buah lagu termasuk duet bersama Jamal dan M Nasir. Tiket menyaksikan konsert ini dijual daripada RM158 sehingga RM1,500. Ia boleh didapati dengan menghubungi 03-21706333.