PETALING JAYA: Juri Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Ramli MS menjelaskan beliau enggan memberi komen persembahan pertama Zamani pada peringkat separuh akhir program itu pada malam Ahad kerana berpegang kepada prinsip. Ramli berkata, beliau tidak mahu melemahkan semangat Zamani memandangkan penyanyi itu sendiri sudah cukup tertekan dengan persembahannya yang bermasalah. "Untuk lagu pertama saya tidak mahu komen sebab prinsip saya tidak akan pijak orang yang dah jatuh tapi dia bangkit untuk lagu kedua. "Semua juri memberi markah hampir maksimum. Malam separuh akhir ini penjurian berdasarkan dua lagu bertanding. Bertenang okay," tulisnya di Instagram. ARTIKEL BERKAITAN: Zamani mengaku berasa malu, terima pemilihan ke final GV5 dipersoalkan Zamani. Dalam pada itu, Ramli memberitahu beliau terkejut apabila Zamani tidak dapat mencari nada lagu Dekat Padamu nyanyian asal Yusry Abdul Halim itu ketika memulakan persembahan pertamanya. Kata Ramli, atas kesilapan itu dia tidak bersikap berat sebelah dan mendedahkan tidak memberi markah kepada Zamani namun memuji keberaniannya memperbetulkan kesalahan tersebut. "Saya terkejut apabila dia tak dapat cari key lagu (bukan silap lirik), saya bagi dia kosong markah. "Tapi selepas separuh lagi dia dapat balik key lagu itu. Saya patut bagi dia markah sebab dia tak berganjak dari kesilapan dia," katanya. Selain Ramli, juri profesional yang mengadili semua peserta adalah Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam. Ramli menjelaskan tindakannya enggan memberi komen persembahan Zamani di Instagram. Hetty Sarlene dan kumpulan Forteen gagal menempatkan diri ke final selepas diumumkan tersingkir pada pertandingan minggu ketujuh itu. Sementara itu, Zamani berkata, dia tidak berkecil hati apabila Ramli enggan memberi komen persembahannya malah memahami mengapa pengarah muzik itu enggan berbuat demikian. Kata Zamani, dia sedar Ramli meletakkan harapan tinggi kepada semua peserta malah beliau sentiasa berada dengan peserta pada sesi latihan. "Saya faham, latihan sudah buat banyak kali tiba-tiba jadi begitu... Beliau pun malas nak komen, saya faham begitu. Harapan orang sangat tinggi pada kita apabila jadi begitu saya sendiri pun berasa kecewa. "Alhamdulillah lagu kedua dapat buat dengan baik jadi terubat sedikit rasa kecewa," katanya. Selain Zamani, peringkat akhir GV5 turut memperlihatkan lima lagi peserta mara iaitu Amelina, Noryn Aziz, Dia Fadilla, Maya Ruslee dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain.