suria

Tiada ‘morning sickness’ tapi Nina Nadira sensitif dengan bau

Nina teruja menantikan kelahiran bayi sulungnya pada awal April tahun hadapan. Foto Instagram: @ninanadira.

PELAKON Nina Nadira memberitahu dia yang kini sedang hamil lima bulan tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

Nina atau nama sebenarnya Nina Nadira Naharuddin, 25, berkata dia cuma sensitif dengan bau-bauan dan akan muntah sekiranya tidak makan.

"Alhamdulillah masa fasa pertama kehamilan itu saya tidak mengalami morning sickness atau alahan yang teruk.

"Sekarang ini dah masuk fasa kedua pun semuanya berjalan dengan baik. Cuma, saya sensitif dengan bau seperti masakan.

Nina umum kehamilan menerusi laman Instagram.

"Selain itu, saya hanya akan muntah apabila tidak makan atau makan lambat sahaja," kata Nina ketika dihubungi mStar Online.

Pelakon drama bersiri Red Velvet ini mengumumkan dia sedang hamil anak pertama menerusi laman Instagram pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Si Cantik Aku ini sudah mula memperlahankan aktiviti seni buat sementara waktu.

Menurut Nina, dia akan mula memikirkan semula kerjaya seninya selepas selesai proses berpantang.

Suami Nina sentiasa sokong sekiranya dia ingin kembali aktif dalam bidang seni selepas tamat proses berpantang.

"Buat sementara waktu ini saya perlahankan dahulu aktiviti seni. Saya boleh menerima undangan untuk menyanyi.

"Tapi untuk berlakon itu mungkin saya perlu rehat dahulu sehingga dah habis pantang nanti.

"Lepas itu, baru saya fikir dan rancang semula perjalanan karier seni macam mana," ujarnya.

Nina berkahwin dengan suaminya yang merupakan seorang arkitek iaitu Ahmad Farhan Rusman pada 29 Julai tahun lalu.

Nina Nadira

Artikel Lain