suria

“Tu dah macam fitnah walaupun gurau” – Aaron Aziz pertahankan Lisa Surihani

Aaron sifatkan Lisa seorang pelakon yang jujur dan berniat baik dalam karier. Foto Instagram: @lisasurihani

PELAKON Datuk Aaron Aziz menegur seorang netizen yang meninggalkan komen berbaur fitnah dalam sekeping foto yang dimuat naik aktres Lisa Surihani di laman Instagram.

Aaron, 42, menjelaskan bahawa Lisa bukanlah seseorang yang mementingkan wang semata-mata sebaliknya wanita itu jujur dan mempunyai niat baik sepanjang menjadi anak seni.

"Tak baik buat cerita macam tu dekat Lisa, tu dah macam buat fitnah tau walaupun bergurau. Tolong istighfar banyak-banyak.

"Lisa seorang yang jujur dan berniat baik dalam kariernya. Dia meletakkan duit perkara terakhir dalam apa dilakukan dan itu sebab dia menjadi 'buah hati' Malaysia," tulisnya.

Komen seorang pengikut menarik perhatian Aaron Aziz.

Aaron membalas komen seorang pengikut yang membuat andaian Lisa memberi bayangan mahu bergandingan bersama aktor itu setelah dia bergelar jutawan.

"Mentang-mentang Aaron dah jutawan, minta acting together konon la tu... hehe, jangan kecam, hanya gurau sahaja," kata pengikut tersebut.

Komen yang tinggalkan Aaron itu mendapat lebih 600 tanda suka dan menarik perhatian peminat.

Lisa bersama suami Yusry Abdul Halim.

Rata-rata memuji tindakan pelakon tersebut dan beranggapan komen netizen itu agak melampau dan tidak sepatutnya menjadi bahan gurauan.

Foto yang dimuat naik Lisa itu menerima lebih 22,000 tanda suka dan hampir 200 komen.

"Hahah, abang Aaron Aziz, rindu mahu berlakon bersama kamu, Ini mungkin sembilan tahun yang lalu," tulis isteri Yusry Abdul Halim ini di ruangan kapsyen.

Lisa Surihani, Aaron Aziz

Artikel Lain