suria

Lan Solo bimbang anak semakin lasak, perlu jalani pemeriksaan sehingga usia 18 tahun

Lan beri perhatian penuh terhadap kesihatan anak. Foto Instagram @lansolo_official

PENYANYI Lan Solo memberitahu anak keempatnya, Nur Amna Quxandra perlu menjalani pemeriksaan berjadual di hospital sehingga dia berusia 18 tahun.

Lan, 33, berkata pemeriksaan itu perlu bagi memastikan jahitan pada bibir anaknya itu berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah Xandra dah sepenuhnya sihat cuma belum pergi pemeriksaan selanjutnya sebab nak check bahagian atas lelangit bimbang jahitan terbuka atau merekah.

"Buat masa ini setiap bulan dia akan menjalani pemeriksaan doktor sehinggalah dia berusia 18 tahun," katanya kepada mStar Online.

Xandra semakin aktif dan lasak.

Xandra dilahirkan pada 24 Februari lalu dan selamat menjalani pembedahan masalah sumbing di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 31 Mei lalu.

Lan dan isteri Nur Sheila Hassim, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009.

Selain Quxandra mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Sementara itu, Lan berkata dia agak bimbang jika terdapat rekahan pada jahitan tersebut kerana ia berkemungkinan menyebabkan anaknya itu perlu dibedah buat kali kedua.

Keluarga bahagia Lan Solo.

"Kalau ada rekahan dan kesan jahitan naik, dia perlu menjalani pembedahan lain. Saya takut sebab dia sudah membesar, sekarang dah agak lasak dan bimbang jahitan itu tertarik.

"Kulit dia pun dah semakin menegang, tapi doktor beritahu kalau rekahan jahitan itu menganggu hidung memang kena operate lagi.

"Harap-harap tidaklah, tak sanggup nak tengok Xandra menjalani pembedahan lagi," katanya.

Bercakap mengenai aktiviti seni, Lan dan Fitri Haris bakal mengadakan Konsert 2 Dunia di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 14 Disember ini.

Menerusi konsert tersebut, sebahagian hasil jualan tiket tersebut akan disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih antaranya Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

Lan Solo

Artikel Lain