suria

Nourul Wahab sedia berduet bersama Ajai

Nourul terbuka sekiranya diberi peluang untuk kembali berduet atau mengadakan persembahan dengan Ajai.

PETALING JAYA: Penyanyi Nourul Wahab bersikap terbuka untuk kembali berkongsi pentas dengan bekas suaminya, Ajai sekiranya ada peluang untuk berbuat demikian.

Nourul atau Noorul Huda Abdul Wahab, 40, memberitahu dia tidak mempunyai masalah kembali 'bersatu' dengan Ajai atas nama profesional selain menyifatkan gandingan mereka sebelum ini adalah salah satu bab dalam kehidupan mereka.

Malah kata Nourul, suaminya, Eric Daniel Depp turut memberi keizinan sekiranya dia ingin kembali berduet atau mengadakan persembahan dengan bekas suaminya itu.

"Kepada semua peminat, saya langsung tiada masalah mengadakan persembahan dengan satu-satunya insan seperti Mr. Ajai.

Status Nourul di Instagram yang menjawab pertanyaan peminat.

"Malah suami saya sendiri memberikan kebenaran lama dulu berdasarkan profesionalism dan duet di antara kami adalah salah satu bab dalam kehidupan kami.

"Saya okay untuk menyanyi atau membuat persembahan istimewa dengan Mr. Ajai andai semuanya baik-baik belaka. Yang baik itu semuanya daripada Allah. Mudah-mudahan ada rezeki kalian untuk melihat semula kami menyanyi duet. Amin," katanya.

Nourul berkata demikian sebagai respons mesej peminat yang merindui gandingan mereka berdua selepas menonton Ajai membuat persembahan bersama Dia Fadilla di pentas akhir Gegar Vaganza musim kelima pada Ahad lalu.

Nourul pernah berkahwin dengan komposer dan penyanyi itu pada 25 Disember 1996 namun berpisah pada 28 Februari 2007.


Gandingan Ajai dan Nurul suatu ketika dahulu mencetuskan fenomena. 

Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah yang kini berusia 20 tahun.

Gandingan di antara Nourul dan Ajai sebagai pasangan duo diterima baik peminat malah mereka popular menerusi lagu seperti Aku Cinta, Aku Rindu, Keliru dan Maafkanku.

Nourul kini bahagia di samping Eric yang dikahwininya pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Zachary Depp dan Raphael Depp.

Penyanyi itu kini sedang hamil anak keempat.

Nourul Wahab, Ajai

Artikel Lain