suria

Sofazr sedar sikap angkuh, lupa diri akhirnya membawa padah

Sofazr dedah mereka pernah lupa diri. Foto: QARAMI HASHIM

KUMPULAN Sofazr mengakui sikap angkuh dan lupa diri ketika zaman kebangkitan 15 tahun lalu menyebabkan band ini semakin dilupai peminat.

Menurut ketua kumpulannya iaitu Zimi atau nama sebenar Zarimi Zahari, mereka melakukan kesilapan besar kerana tidak memikirkan perancangan masa depan dan asyik terbuai dengan populariti.

"Album kami berjudul Janjiku pada tahun 2006 membuatkan nama Sofaz popular dalam sekelip mata. Semasa itu kamu leka dan lupa diri kerana semakin dikenali sampai ke Indonesia.

"Masing-masing mula buat kepala, bergaduh, tak boleh ditegur dan benda-benda kecil tak boleh buat bincang. Maklumlah duit pun masa itu banyak.

"Bayangkan daripada budak flat kami berjaya membina nama kumpulan ini, jadi kejutan budaya sehingga membawa padah kepada kami," katanya kepada mStar Online.

Zimi ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu kumpulan itu berjudul Takkan Mungkin yang berlangsung di Red Box, Garden Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sofazr memperdengarkan single terbaharu mereka.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan One S.B, Syah Sofazr dan Fairuz Sofazr, manakala lirik pula oleh One S.B.

Selain Zimi, Sofazr turut dianggotai Wan Shahbaharin Niktah (gitaris pertama, Wan Shah Baharom Niktah (One drum), Ahmad Fairouz Mohammad (bass), Amir Mahiyiddin (vokalis) dan Rodie Jamun (keyboard).

Seiring dengan peningkatan usia, Zimi berkata, ahli kumpulan ini semakin matang dan bijak dalam menyusun semula karier nyanyian.

Ujarnya, Sofazr masih mempunyai kelompok peminat tersendiri dan mereka juga perlu kekal relevan dengan menghasilkan muzik yang bersesuaian dengan selera pendengar.

"Kami akan terus mewarnai industri hiburan dengan muzik yang boleh diterima semua pendengar.

"Namun, identiti Sofazr itu tetap ada, apabila orang dengar mereka akan tahu itu lagu Sofarz," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan ini turut mengalu-alukan kedatangan penyanyi baharu kerana golongan muda ini yang akan meneruskan legasi muzik.

"Satu tanda positif kedatangan mereka ini sebagai penyambung lagu, kami pun masing-masing dah berusia dan mereka yang akan kekal berada dalam industri.

"Mereka inilah yang akan menjadi pemimpin kelak, cuma kita perlu bantu dengan beri bimbingan yang bersesuaian dengan pengalaman kita dulu," ujarnya.

Sofarz

Artikel Lain