KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Datin Diana Danielle bangga dengan keberanian anak lelakinya, Muhammad yang baharu berusia lima tahun melalui proses berkhatan tiga hari lalu. Diana, 28, berkata, keputusan untuk berkhatan itu dibuat sendiri oleh Muhammad selepas berasa tercabar dengan sepupunya yang sudah bersunat. "Kalau ikutkan saya rasa memang macam masih terlalu awal... Saya tidak paksa atau suruh tetapi dia sendiri yang beritahu mahu bersunat. "Dia rasa tercabar dan tidak mahu ketinggalan apabila kebanyakan sepupu lelakinya sudah pun berkhatan jadi dia mahu melalui proses sama. Diana dan Reyza selesa bekerjasama. "Alhamdulillah dia seorang yang berani dan saya sendiri pun tak sangka dia betul-betul dengan keputusannya itu," katanya. Diana ditemui pada majlis pelancaran single duet terbaharunya bersama penyanyi Singapura, Reyza Hamizan dan NeonSeoul berjudul Infiniti pada Selasa. Menceritakan lebih lanjut mengenai keadaan Muhammad, Diana berkata, dia hanya menangis ketika diberikan ubat bius namun selepas kesan ubat itu hilang, kanak-kanak itu mula menyesal dengan keputusannya. "Dia menangis kerana kesakitan dan beritahu menyesal kerana bersunat... Tetapi itu pada hari pertama sahaja dan sekarang keadaannya semakin pulih," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai Infiniti, Diana berkata, lagu tersebut dihasilkan oleh Reyza sebenarnya sudah siap tiga tahun lalu namun mereka menangguhkan pelancarannya kerana melakukan beberapa penambahbaikkan sepanjang tempoh itu. Diana dan Reyza turut menampilkan kumpulan NeonSeoul dalam lagu Infiniti. Pun begitu kata Diana, mereka berpuas hati dengan hasil akhir lagu itu dan berharap ia dapat diterima baik oleh pendengar. "Selain daripada perselisihan jadual, Reyza juga sentiasa tampil dengan idea baru untuk mencantikkan lagi lagu itu sampai ada dua kali dia beli mikrofon baru terpaksa saya rakam semula. "Tetapi tidak mengapa dalam tempoh itu juga banyak yang saya belajar daripada Reyza kerana saya bukan seorang komposer jadi sedikit sebanyak dapat timba ilmu tentang proses penghasilan lagu," katanya. Tambah Diana, menerusi lagu ini juga Reyza banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam menyerlahkan vokalnya selain mengambil kelas bersama Sarah Ismail dan Idayu. Diana mahu lebih serius dalam bidang nyanyian. Dalam perkembangan sama, Reyza memberitahu dia berharap kolaborasinya dengan Diana dan NeonSeoul dapat memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi dan komposer dalam kalangan penggembar muzik tempatan. Malah Reyza turut memuji kredibiliti Diana sebagai seorang penyanyi selain menyifatkan pelakon itu mempunyai kebolehan dan deria yang baik dalam muzik. "Diana sebenarnya berbakat besar dan paling penting citarasa dan nalurinya terhadap melodi cukup baik yang membuatkan saya selesa bekerjasama dengannya. "Infiniti adalah satu permulaan baik buat kami dan Insya-Allah akan ada lagi kolaborasi bersamanya dan artis lain selepas ini," katanya.