suria

“Twitt tu untuk orang yang potong tanduk badak sumbu, bukan untuk Nelydia” - Kilafairy

Kilfairy (kiri) menyangkal rantaian twitnya di Twitter ditujukan kepada Nelydia Senrose. Foto Instagram @kilafairy & @nelydiasenrose

PELAKON Kilafairy menjelaskan rantaian hantaran mesej di Twitter berhubung penderaan terhadap haiwan yang dimuat naiknya bukan ditujukan kepada aktres Nelydia Senrose.

Sebaliknya kata Kila atau Syakila Nisa Jahangir Khan, 26, luahannya berhubung kekejaman terhadap badak sumbu di Afrika Selatan yang dipotong tanduknya oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memburu haiwan di negara itu.

"Twit itu untuk orang-orang yang potong tanduk badak sumbu. Nah tengok video ini. Lepas itu bagitahu Kila, apa perasaan anda?

"Twit saya adalah untuk ini dan bukannya untuk Nelydia Senrose. Sekian," katanya di Instagram.

Menerusi hantaran di Twitter tersebut, Kila memberitahu dia tidak akan memberi muka kepada mana-mana pihak yang terlibat terhadap keganasan terhadap haiwan.

Rantaian twit Kilafairy yang disalah erti sesetengah pihak.

Katanya, dia berasa sensitif terhadap perkara melibatkan haiwan dan akan mempertahankan hak haiwan.

Pun begitu, ramai menyangka kenyataan itu ditujukan kepada rakannya, Nelydia Senrose yang sebelum itu memuat naik gambar melakukan aktiviti bersama ikan lumba-lumba di Dubai.

Malah Kila turut meninggalkan komen pada foto tersebut yang mengatakan haiwan itu diseksa.

Nelydia bagaimanapun membalas dengan menjawab ikan lumba-lumba itu dijaga dengan baik dan bukannya seperti di tempat lain.

"Tidak. Bukan di sini. Mereka (ikan lumba-lumba) bebas di sini. Tolong tengok Atlantis Dolphin Bay. Mereka bukan seperti tempat lain," balas Nelydia.

Nelydia Senrose, Kilafairy

Artikel Lain