suria

“Abang hari ini I nak pergi umrah, I bersiap seorang diri” - luahan sayu Nora tunai umrah tanpa suami

Nora berangkat menunaikan umrah pada Isnin.

PENYANYI Nora Ariffin meluahkan rasa sayu dan sukar digambarkan apabila dia menunaikan ibadah umrah tanpa suaminya iaitu Allahyarham Johan Nawawi.

Nora berkata, ia merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke Mekkah dan Madinah tanpa suami tercinta.

"Hari ini I nak pergi umrah, sesungguhnya Allah sahaja tahu betapa hati merindui abang setiap masa dan detik bersama abang.

"Kenangan takkan pernah padam. Masih segar diingatan empat tahun lepas kali terakhir kita sama-sama mengerjakan umrah. Hari ini... I bersiap seorang diri melangkah bermusafir ditemani jemaah lain," tulisnya di Instagram pada Isnin.

Nora menunaikan umrah tanpa suami.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Delima itu turut meminta maaf kepada sesiapa yang mengenali dirinya sekiranya mempunyai kesalahan dengan sengaja atau tidak.

Dia berharap perjalanannya kali ini dipermudahkan dan berterima kasih kepada usahawan kosmetik Datuk Seri Vida yang menaja ibadah tersebut.

"Doakan perjalanan umrah saya selamat pergi dan pulang kepangkuan anak-anak tersayang. 

"Moga selepas umrah kali ini akan datang tahun baharu 2019 dengan sinar dan semangat serta rezeki yang bertambah untuk saya melangkah menjalani kehidupan lebih sempurna," ujarnya.

Komposer Johan Nawawi meninggal dunia pada 24 Mac 2017  di sebuah Pusat Perubatan di Subang Jaya.

Nora Ariffin

Artikel Lain