suria

Eyra Hazali tiada kata gambarkan perasaan jadi tunangan Muhammad Haziq

Eyra Hazali dan Muhammad Haziq mengikat tali pertunangan pada Sabtu lalu. Foto Instagram @doublefstudio & @eyra.hazali

PELAKON Eyra Hazali memberitahu tiada kata yang dapat dizahirkan bagi menggambarkan perasaannya apabila selamat bergelar tunangan kepada penjaga gol pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Muhammad Haziq Nadzil pada 1 Disember lalu.

Mengakui dirinya seorang yang bertuah, Eyra atau Hazirah Qasdina Hazali, 19, berkata, terlalu banyak perkara yang boleh dikatakan tentang Muhammad Haziq dan pertunangan mereka adalah satu langkah ke hadapan hubungan mereka.

"Alhamdulillah, satu langkah kehadapan.

"Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bertuahnya saya memilikinya dalam hidup saya.

"Jika saya ada satu hari untuk menulis tentangnya, saya tahu saya akan kehabisan masa kerana terlalu banyak benda yang ingin saya katakan tentang dia.

Antara foto kenangan pada hari pertunangan mereka.

Pelakon drama bersiri Mr. Grey ini mengikat tali pertunangan dengan Muhammad Haziq pada Sabtu lalu dan perkara itu disahkan oleh ibunya, Qhuzie.

Ikatan pertunangan tersebut turut menjawab spekulasi hubungan pasangan itu yang hangat diperkatakan sebelum ini namun Eyra enggan memberi sebarang pengesahan bagi menghormati permintaan bapanya, Hazali Ramli.

Sebelum ini, nama Haziq pernah dikecam gara-gara melakukan kesilapan ketika aksi final bola sepak Sukan SEA hingga menyebabkan Thailand beroleh jaringan kemenangan pada tahun lalu.

Cubaan Haziq menyelamatkan gawang Harimau Malaya bagaimanapun bertukar mimpi ngeri apabila ia memberi gol kepada pasukan lawan, sekali gus emas dirangkul Thailand.

Artikel Lain