suria

Hasrat Neelofa kembangkan karier di Eropah terlaksana

Neelofa akan menandatangani kontrak bersama dua agensi di United Kingdom dan Perancis minggu depan.

PELAKON dan pengacara Neelofa bakal menandatangani kontrak dengan dua buah agensi masing-masing di United Kingdom (UK) dan Perancis dalam usaha mengembangkan karier dan perniagaannya di Eropah.

Neelofa, 29, berkata, kedua-dua agensi itu bakal mewakilinya bagi dalam bidang fesyen dan kecantikan selain mengembangkan rangkaiannya tudung jenamanya, Naelofar Hijab.

"Insya-Allah pada Selasa depan saya akan berangkat ke sana untuk menandatangani kontrak bersama dua agensi tersebut.

"Kedua-dua agensi itu sudah kukuh di Eropah dan mereka akan mewakili saya dalam usaha mengembangkan rangkaian fesyen dan kecantikan.

"Menjadi hasrat saya untuk membawa imej Muslimah dan berhijab dalam fesyen dalam pasaran di sana memandangkan gaya modest semakin mendapat tempat di Eropah," katanya.

Neelofa akan lebih banyak berulang-alik ke Eropah selepas ini.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia sudah lama memasang impian mengembangkan karier dan perniagaan di luar negara namun tidak mempunyai saluran atau mengetahui cara yang tepat untuk berbuat demikian.

Katanya, dia mahu ke luar negara kerana tidak mahu terus berada dalam zon selesanya kini dan perlu melakukan sesuatu yang berbeza dan mencapai matlamatnya.

"Alhamdulillah saya berpeluang bertemu dengan seorang ejen dari Amerika Syarikat yang kini adalah pengurus global saya iaitu Norman.

"Norman yang juga berkahwin dengan rakyat Malaysia sangat memahami visi saya malah dia mempunyai kepakaran merialisasikan impian saya.

Neelofa tidak mahu terus berada dalam zon selesa.

"Beliau juga yang membantu mendapatkan kontrak di United Kingdom dan Perancis," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa berkata, dia masih berminat untuk berlakon namun sukar untuk memberi komitmen kerana jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti termasuk akan kerap berada di Eropah sepanjang tahun hadapan.

Pun begitu kata Neelofa, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan tanggungjawabnya sebagai hos program MeleTOP yang sudah memasuki tahun keenam.

"Saya ada terfikir hendak berlakon tetapi jadual sudah agak padat tahun hadapan namun saya bersyukur MeleTOP adalah platform untuk peminat melihat saya di televisyen setiap minggu.

"Buat masa ini saya tidak terfikir langsung untuk tinggalkan MeleTOP kerana program itu istimewa dalam hati saya," katanya.

Neelofa

Artikel Lain