suria

36 juta strim Yuna di Spotify sepanjang 2018

Muzik penyanyi Yuna menerima jumlah penstriman sebanyak 36 juta sepanjang 2018 di aplikasi Spotify.

PENYANYI yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna mencatat sejarah peribadi apabila memperoleh jumlah penstriman mencecah 36 juta menerusi aplikasi Spotify sepanjang 2018.

Jumlah itu bukan sahaja menerusi pendengar di Malaysia dan Amerika Syarikat, malahan merangkumi 65 negara, selain muziknya dimainkan di 76,890 bandar seluruh dunia.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Yuna berkata, dia berterima kasih kepada semua peminat kerana memberikan ruang untuk karyanya terus 'hidup'.

"Terima kasih kerana memilih muzik saya untuk menemani anda pada waktu malam, ketika menelaah pelajaran, memandu, minum kopi pada waktu pagi, kelas tarian atau selepas berpisah dengan seseorang.

"Terima kasih kerana memberi muzik saya tempat untuk hidup. Apabila saya mula menghasilkan muzik 10 tahun lalu ia hanya berkumandang sekitar bilik tidur saya.

Yuna turut berkongsi berita gembira itu di Instagram.

"Spotify juga memaklumkan muzik saya turut dimainkan di 76,890 bandar seluruh dunia," tulisnya selebriti berusia 32 tahun itu di Instagram.

Menerusi Spotify for Artists 2018 Wrapped itu juga, Yuna mengumpul enam juta pengikut menerusi aplikasi itu, selain purata dua juta mendengar lagu-lagunya setiap jam.

Untuk rekod, pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara'ai, pernah melancarkan tiga album di Amerika iaitu Yuna pada 2012, Nocturnal (2013) dan Chapters (2016).

Lagu duetnya bersama bintang R&B, Usher berjudul Crush pernah menduduki tangga ketiga carta Billboard Adult R&B.

Album Chapters  juga pernah tersenarai sebagai 10 album R&B terbaik pilihan Billboard, selain 20 album R&B terbaik oleh majalah Rolling Stone pada 2016.

Yuna, Spotify

Artikel Lain