KUMPULAN Caliph Busker mengakui sukar untuk mereka menyampaikan lagu-lagu berentak rancak berikutan faktor penglihatan yang terbatas. Vokalisnya Azmi berkata, sebagai penyanyi dia tidak tahu untuk memberi ekspresi bahasa tubuh yang sesuai ketika membuat persembahan. "Orang kata menyanyi lagu rancak lebih senang tapi kami berdepan dengan masalah untuk melakukan bahasa tubuh ketika menyampaikan lagu-lagu seperti itu. "Macam mana nak hayati lagu itu, mereka kata goyang sahaja tapi nak goyang macam mana? Kalau nampak boleh juga tengok dekat skrin sama ada okey atau tidak. "Atau boleh juga berlatih menari depan cermin," ujarnya kepada mStar Online. Caliph Buskers ditemui pada pelancaran lagu terbaharunya berjudul Hanya Mimpi ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan. Lagu itu merupakan lagu rancak pertama yang dinyanyikan oleh kumpulan orang kelainan upaya penglihatan tersebut. Caliph akui sukar nyanyi lagu rancak. Selain Azmi, kumpulan berkenaan turut dianggotai oleh Nirwan, Zaki, Fendy dan Nadira. Dalam pada itu, ahli kumpulannya Nadira turut menyumbangkan suara dalam lagu berkenaan. Nadira berkata, dia menerima cabaran itu selepas diyakinkan oleh ahli kumpulan yang lain. "Pada mulanya memang rasa bimbang sebab saya seorang yang pemalu tapi bila semua rakan-rakan beri kekuatan dan yakin saya boleh barulah saya setuju. "Saya ada masuk kelas vokal untuk perbaiki nyanyian dan kena lebih bersedia untuk bercakap dengan orang sebab selalu saya diam sahaja," ujarnya. Kata Nadira, perasaan malu dan kurang keyakinan diri sememangnya menjadi cabaran kepada setiap ahli kumpulan berkenaan. Dalam pada itu, Azmi menambah, perasaan itu timbul kerana mereka tidak tahu reaksi penonton di hadapan sama ada suka atau tidak. "Perasaan malu dan kurang yakin memang masih ada kerana kita tidak tahu apa reaksi orang, adakah mereka suka dengan nyanyian kita atau tidak. "Kadang-kadang orang bercakap dekat telefon tapi kita pula yang jawab, jadi lebih baik kita diam sahaja," ujaranya.