suria

Hajat nak kahwin umur 27 tahun, Amira Othman nak ada kekasih tahun depan

Amira mahu bakal kekasihnya seorang yang memahami kerjaya seninya. Foto: SHAARI CHEMAT.

PENYANYI Amira Othman meletakkan sasaran untuk mempunyai kekasih pada tahun hadapan memandangkan dia ingin berkahwin pada usianya mencecah 27 tahun.

Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 25, berkata dia berharap bakal kekasihnya itu seorang yang memahami kerjaya seninya dan bukan dalam kalangan selebriti.

"Saya memang letakkan sasaran untuk berkahwin pada usia saya 27 tahun. Maknanya lagi dua tahun. Buat masa sekarang ini, saya masih belum mempunyai kekasih.

ARTIKEL BERKAITAN: Amira Othman bertuah dua adik kacak jadi penyanyi

Sasaran Amira untuk kahwin pada usia 27 tahun.

"Berkawan itu ada la. Tapi saya nak pastikan tahun hadapan, saya kena ada seseorang yang istimewa.

"Saya berharap kekasih saya itu seorang yang memahami kerjaya seni saya dan kalau boleh, biarlah dia bukan dari bidang seni," kata Amira kepada mStar Online.

Amira ditemui ketika majlis sambutan ulang tahun kelahiran penyanyi Wany Hasrita yang ke 26 tahun di LanaiTamu EventHall, Neo Damansara, Petaling Jaya pada malam, Ahad lalu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Hati-Hati ini memberitahu buat pertama kali dia bakal berduet dengan adiknya, Irfan Haris.

Amira bakal mengeluarkan lagu duet bersama Irfan.

Menurutnya, dia sebelum ini sukar untuk menerima dan mendapatkan lagu yang sesuai untuknya menyebabkan agak lewat mengeluarkan single terbaharu.

"Insya-Allah tahun hadapan, saya bakal mengeluarkan lagu duet bersama Irfan. Ini kali pertama kami berdua bekerjasama dalam sebuah lagu.

"Saya dah lama juga tak mengeluarkan sebarang single terbaharu. Kali terakhir, lagu Mimpi Indah pada awal tahun ini.

"Mungkin sebab saya susah nak terima atau dapat lagu yang betul-betul sesuai dengan saya sebab itu ambil masa agak lama nak ada single baharu," ujarnya.

Amira Othman, Irfan Haris

Artikel Lain