suria

Ella bakal muncul dalam konsert ‘unplugged’ sempena 3 dekad karier nyanyian

Ella

RATU rock negara Ella bakal mengadakan konsert secara Unplugged pada Mac 2019 buat pertama kali dalam sejarah tiga dekad karier nyanyiannya.

Ella atau Norzila Aminudin, 52, berkata, dia memilih mengadakan konsert unplugged kerana ingin mencabar dirinya melakukan sesuatu yang baharu selain tampil kelainan buat peminat.

"Apabila pihak pengurusan memberikan idea itu saya sebenarnya teruja kerana sebelum ini saya belum berkesempatan mengadakan sebuah konsert khas secara unplugged.

"Saya sahut cabaran itu malah saya dapat tampilkan kelainan serta membuktikan kredibiliti sebagai penghibur kepada peminat yang hadir ke konsert itu kelak," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tiada Istilah Sunyi Dalam Hidup Saya" - Ella

Ella ditemui pada sidang media konsert itu yang diberi nama ‘Ella Unplugged In KL’ yang diadakan pada Jumaat.

Persembahan selama tiga malam itu akan diadakan pada 29, 30 dan 31 Mac depan, pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Dalam pada itu, Ella berkata, bagi memberikan kelainan, dia akan tampil dengan sebuah segmen khas yang memperlihatkan dia mempersembahkan seleksi lagu-lagu irama Malaysia dan asli.

Kata Ella, segmen itu adalah idea asal daripada dirinya sendiri serta suami, Azhar Ghazali yang ingin menzahirkan minatnya terhadap genre itu walaupun dia lebih dikenali dengan irama rock.

"Sebenarnya saya memang sukakan lagu-lagu asli dan saya ingin ambil kesempatan ini mewujudkan segmen khas bagi tujuan itu.

"Berkemungkinan saya akan sampaikan lagu seperti Tidak Seindah Wajah nyanyian asal Tan Sri SM Salim dan Jauh Di Mata oleh Ahmad Jais termasuk saya akan ‘aslikan’ salah sebuah lagu asal yang belum saya putuskan," ujarnya.

Tambah Ella, pada konsert yang akan berlangsung selama satu jam 30 minit itu dia akan menyampaikan hampir 20 lagu popularnya.

Sementara itu, Ella berkata, dia tidak berasa bimbang konsertnya tidak mendapat sambutan memandangkan terdapat beberapa persembahan besar termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan mengadakan konsert pada bulan yang sama.

Kata Ella, dia melihat perkara itu sebagai perkembangan yang sihat apabila ramai penyanyi tempatan mula mengadakan konsert berskala besar.

"Lebih banyak lebih meriah! Ini bukti industri muzik tempatan semakin aktif kembali dengan adanya artis-artis ternama lain mengadakan konsert.

"Tentang sambutan saya tidak bimbang kerana genre kami berbeza yang memberikan peminat lebih banyak pilihan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ella memberitahu pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Autism Malaysia (YAM) di mana sebahagian hasil penjualan tiket alan didermakan kepada badan tersebut.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM179 hingga RM519 atau RM159 hingga RM489 (bidaan awal yang bermula 2 Januari depan)

Tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.proticket.com.my.

Ella

Artikel Lain