suria

“Maafkan mama” - Nota Noraniza Idris buat anak sulungnya sentuh perasaan

Penyanyi Noraniza Idris menulis nota yang menyentuh hati buat anak sulungnya, Mohd Aliff Haiqal yang melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Foto Instagram @noraniza_idris, @ezza.nafiesha & @petapattern.

PENYANYI irama tradisional, Noraniza Idris menyentuh perasaan pengikutnya di laman sosial apabila meninggalkan nota buat anak sulungnya, Mohd Aliff Haiqal Mohd Fauzi, 26, yang selamat bergelar suami baru-baru ini.

Noraniza, 50, dalam nota tersebut meminta maaf kepada anaknya kerana tidak dapat menjadi seorang ibu yang sempurna namun akan sentiasa mendoakan kebahagian Aliff.

"Jika duka yang kau jumpa, kembalilah kepada Allah. Jika suka yang kau jumpa, bersyukurlah. Doa sentiasa mengiringimu Aliff.

"Maafkan kerana mama bukanlah mama yang sempurna untukmu.

Kasih ibu buat anak dan menantu tersayang.

"Sesungguhnya, sedari awal telah mama halalkan segala urusanmu... Teruskanlah perjalananmu dengan tenang dan penuh kasih sayang," tulisnya pada kapsyen gambar memperlihatkan Noraniza menitiskan air mata sambil memeluk anaknya.

Aliff memilih Ezza Nafiesha Zakaria sebagai pasangan hidupnya dan mereka disatukan dalam majlis pernikahan yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu.

Dalam pada itu, Noraniza dalam nota sama turut berpesan agar anaknya itu menjadi seorang ketua keluarga yang dapat membimbing isteri selain menghormati keluarga.

Katanya lagi, sebagai seorang ibu dia merasakan masa berjalan terlalu pantas dan berharap anak kesayangannya itu dapat melalui alam rumah tangga dengan baik.

Aliff bergelar suami pada 22 Disember lalu.

"Pertama kali mendengar tangismu, hilang segala kesakitan melahirkanmu maka bermulalah tawa tangis mama penuh rasa keibuan.

"Masa berlalu pantas dan kini mama menyaksikan Alif berdiri depan pintu gerbang kehidupan baru. Bagai bicara Luqman Al Hakim dalam surah Luqman dalam al Quran, hidup umpama laut. Dalamnya tak terduga, isinya penuh pancaroba.

"Alif anakku, kau adalah ketua keluarga maka bimbinglah isterimu, bakal ibu kepada anak-anakmu. Hormati mertuamu, ipar dan saudara semendamu dan keluargamu sendiri," katanya.

Aliff adalah anak Noraniza bersama bekas suami, Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau Fareez dan mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Alfeeq Haiqal Mohd Fauzi, 25.

Artikel Lain