suria

Shiha Zikir ada alasan ambil masa lama untuk aktif di Indonesia

Shiha ada strategi dan matlamat yang ingin dicapai.

PENYANYI Shiha Zikir memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri mengapa menolak tawaran untuk mengembangkan kerjaya dan menjadi artis bawah label terkenal di Indonesia.

Shiha, 31, berkata, ada beberapa syarat dalam kontrak perjanjian itu yang dirasakan tidak sesuai dengan matlamatnya sebagai seorang penyanyi.

"Saya pernah ditawarkan label yang turut dinaungi oleh artis terkenal tapi saya tolak sebab ada syarat yang saya tidak boleh terima.

"Biarlah orang kata saya bodoh tak mahu ambil peluang di negara jiran itu. Tapi saya ada matlamat saya sendiri dan sebab kenapa saya tidak jadi artis di sana,” ujarnya kepada mStar Online.

Selain itu, Shiha berkata, perkara itu juga dilakukan sebagai salah satu strategi untuk dia menjaga nilai eksklusif dan harga bayaran jika menerima undangan di negara itu.

Shiha (tengah) bersama komposer lagu Pipiyama.

Katanya, permintaan untuk dia membuat persembahan di sana perlu mengikut harga yang sama seperti di negara ini.

"Nilai bayaran untuk artis juga berbeza-beza, bagi saya jika berada di Malaysia saya dapat menjaga nilai eksklusif tersebut," ujarnya.

Tambah Shiha, dia juga mempunyai matlamat dalam bidang perniagaan yang sedang diusahakan.

Dalam pada itu, Shiha baharu sahaja melancarkan lagu dangdut pertama di Indonesia yang berjudul Pipiyama yang mana singkatan kepada Pilih Pilih Yang Mana ciptaan Atra Petrana.

Ia merupakan percubaan pertama penyanyi lagu Jagakan Dia ini untuk mencuba nasib di pasaran Indonesia selepas menyertai D'Academy Asia 2015 (DAA).

"Sepatutnya saya ada sebuah lagu dandut selepas tamat program realiti DAA empat tahun lalu tapi ada beberapa kekangan yang membuatkan perkara itu tidak berjalan lancar.

"Sekarang adalah masa yang sesuai dan Alhamdulillah peminat-peminat saya di Indonesia masih menyokong kerjaya saya biarpun saya berada di Malaysia.

"InsyaAllah jika dapat sambutan lagu ini juga akan dipasarkan di Malaysia," ujarnya.

Shiha Zikir, Pipiyama

Artikel Lain