suria

Azira Shafinaz anggap netizen umpama juri menilai hasil kerjanya

Azira anggap setiap komen dan kritikan negatif membakar semangatnya untuk lakukan yang lebih baik.

PENYANYI dan pelakon Azira Shafinaz menganggap netizen di laman sosial seperti juri yang menilai setiap hasil kerja dan karyanya.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, 27, berkata dia memerlukan komen dan kritikan daripada mereka untuk melakukan yang lebih baik pada masa hadapan.

"Saya tak kisah dengan kritikan atau komen negatif daripada netizen di laman sosial. Bagi saya, mereka itu seperti juri yang menilai kita.

"Setiap komen dan kritikan mereka, saya akan ambil secara positif. Malah, komen mereka sangat diperlukan.

"Supaya saya boleh tanam dalam diri untuk buat yang lebih baik. Untuk kemajuan diri sendiri juga," kata Azira kepada mStar Online.


Azira terima kritikan secara positif.

Drama terbaharu lakonannya bersama pelakon Zul Ariffin iaitu Seribu Rindu yang sudah tamat siaran pada minggu lalu mendapat pujian ramai.

Rata-rata penonton memuji lakonan salah seorang anggota kumpulan DeFam ini yang kelihatan lebih baik berbanding dahulu.

Menurut Azira, dia kini sudah selesa membawa sebarang watak yang boleh mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

"Mungkin masa awal-awal pembabitan saya dalam bidang lakonan, saya agak malu-malu. Tapi sekarang ini, saya sudah selesa.

"Setiap kali saya dapat sesuatu watak, saya akan kaji terlebih dahulu. Saya pun suka tengok drama Melayu. Jadi, saya banyak belajar dari situ juga," ujarnya.

DeFam masih keutamaan Azira.

Dalam pada itu, Azira masih lagi memberi keutamaan kepada DeFam yang turut dianggotai oleh Manggis dan Sophia.

Kata Azira, mereka bakal mengeluarkan single terbaharu dalam pertengahan tahun hadapan dan akan ada sesuatu kejutan untuk peminat pada Januari depan.

"DeFam masih lagi keutamaan saya. Lakonan dan menjadi pengacara ini sementara mengisi masa yang terluang.

"Insya-Allah kami akan keluarkan single terbaharu sebelum hari raya. Memang ambil masa agak lama sebab nak betul-betul yang berkualiti.

"Dan pada Januari akan datang ni, ada kejutan istimewa untuk peminat. Masih dirahsiakan apa kejutan itu, kena tunggu nanti," katanya.

Azira Shafinaz, DeFam

Artikel Berikut

Empat wajah baharu Buletin TV3

Artikel Lain