suria

Empat wajah baharu Buletin TV3

Wajah baharu yang bakal menghiasi buletin TV3.

PROGRAM berita termasuk beberapa rancangan terbitan TV3 bakal bersiaran dengan nafas baharu sempena tahun 2019 akan datang.

Menurut Pengarang Urusan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail, beberapa segmen turut disiarkan semula bagi memberi peluang kepada masyarakat menyuarakan pandangan mereka.

“Program berita harus melaksanakan peranannya untuk menyampaikan maklumat, mendidik dan menghibur. Dengan mengambil kira perubahan yang berlaku di negara kita, wartawan penyiaran kami harus merasai denyut nadi rakyat dan menyampaikan berita yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat umum.

“Oleh itu, kami kembalikan Aduan Rakyat, khas untuk orang ramai yang ingin mengajukan aduan mereka ke perhatian pihak berkuasa melalui platform TV atau saluran YouTube, Facebook atau Twitter kami.

“Selain itu, segmen Apa Khabar YB akan memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat pemimpin kerajaan yang baharu,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, pembaharuan tersebut akan bermula pada pukul 12 tengah malam, 31 Disember ini menerusi berita bahasa Inggeris, Nightline.

Bertemakan ‘Merakyatkan Berita’, slot buletin TV3 akan mengembalikan format berita dari orang awam menerusi liputan dan segmen khas di semua platform siaran iaitu di televisyen dan media sosial.

Selain itu, tiga wajah baharu pembaca berita diperkenalkan terdiri daripada Nik Munirah, Ramzan Mohd Saufi, Fatin Hamimah Yusof dan Naquia Basharudin.

Selaras dengan hala tuju merakyatkan berita, segmen Detik Niaga juga akan menumpukan kepada laporan mengenai kejayaan usahawan tempatan serta produk unik yang dihasilkan usahawan kecil dan sederhana, selain laporan pasaran dan sektor korporat.

Buletin TV3

Artikel Lain