suria

Ditahan wad selama seminggu tapi Ippo Hafiz tetap promosi lagu baharu

Ippo kini berada di hospital selepas mengalami batuk berpanjangan sejak seminggu lalu.

PENYANYI Ippo Hafiz dimasukkan ke hospital selepas mengalami batuk berterusan dan sakit perut menyebabkan dia ditahan wad selama satu minggu.

Biarpun Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 30, sehingga kini masih dalam rawatan namun dia tetap sibuk mempromosikan lagu terbaharunya, Saat Bahagia.

"Sudah seminggu juga saya berada dalam hospital disebabkan terkena virus batuk yang berterusan dan apabila makan ubat, perut saya pula sakit.

"Mungkin disebabkan kesan ubat tu dan saya pula memang ada masalah gastrik. Sebenarnya saya tak sabar nak keluar hospital.

"Sebab nak promosikan lagu terbaharu. Biarpun masih dalam rawatan, saya tetap lakukan promosi lagu tersebut di laman sosial," katanya kepada mStar Online.


Ippo kini sibuk mempromosikan lagu Saat Bahagia.

Lagu runut bunyi (OST) untuk drama Pujaan Hati Kanda itu mula berada di YouTube sejak 5 Januari lalu dan kini sudah mencecah lebih 140,000 tontonan.

Dalam pada itu, Ippo memohon maaf kepada peminat yang salah faham dengan foto-foto memperlihatkan dia sudah berkahwin di laman sosialnya.

Menurut penyanyi lagu Kekal Bahagia ini, dia tidak ada niat untuk membuat sebarang gimik semata-mata untuk mempromosikan lagu tersebut.

Malah, sebelum ini dia sentiasa bersikap jujur apabila pihak media bertanyakan mengenai foto tersebut.

"Saya ingin minta maaf kepada peminat yang salah faham dengan foto-foto seakan saya sudah berkahwin di laman sosial.

Foto Ippo bersama seorang wanita yang dimuat naik di laman sosial menyebabkan salah faham peminat yang menyangkakan dia sudah berkahwin.

"Tiada niat nak buat gimik untuk promosi lagu. Apabila pihak media bertanyakan mengenai foto tersebut, saya beritahu ia adalah muzik video terbaharu sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Ippo memberitahu dia hanya ingin memberi tumpuan sepenuhnya pada karier muziknya pada tahun ini namun tidak akan tolak sekiranya ditemukan jodoh.

"Tahun ini saya memang nak fokus pada bidang nyanyian sahaja. Nak keluarkan lagu yang positif dan segar.

"Soal jodoh ini, saya berserah sahaja. Kalau ada, ada la. Saya tak terlalu fokus pada itu kerana percaya jodoh itu pasti bertemu," katanya.

Ippo Hafiz

Artikel Lain