suria

Pendengar tak terima Adi Priyo (6ixth Sense) nyanyi lagu rancak

Adi Priyo mengaku lagu rancak nyanyiannya tidak mendapat sambutan. FOTO: Anis

PENYANYI berasal dari Indonesia Adi Priyo mengakui peminat-peminatnya hanya menerima dia menyanyikan lagu-lagu berunsur jiwang berbanding genre rancak.

Vokalis kumpulan 6ixth Sense ini berkata, dia pernah mencuba nasib menyanyikan genre rancak bersama kumpulannya itu, namun tidak mendapat sambutan.

"Orang mahu saya menyanyi lagu-lagu jiwang. Pernah juga cuba bawa lagu genre lain yang rancak tapi orang tak boleh terima.

"Walaupun jiwa saya tidak ke arah jiwang tapi saya kini lebih kepada cinta yang lebih global dan meluas,” ujarnya kepada mStar Online.


Adi ditemui pada majlis pelancaran single solo pertamanya berjudul Aku Cinta Mati di pusat karaoke Red Box The Garden, pada Khamis.

Bercerita tentang single tersebut, Adi berkata, ia berkisarkan pengorbanan seorang insan terhadap cinta abadinya.

Muzik video lagu ciptaan komposer Indonesia iaitu Garuda ini juga boleh ditonton di YouTube bermula pada petang Khamis.

"Lagu ini dicipta oleh komposer Garuda dan ia boleh diinterprestasi dalam pelbagai makna iaitu kepada orang ataupun Tuhan.

Muzik video juga boleh ditonton pukul 4 petang pada Khamis. Lagu pula sudah boleh didengar di semua platform streaming," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas tentang projek solo terbabit, Adi berkata, dia berani untuk mencuba nasib secara solo selepas mendapat sokongan daripada pengurusan baharunya Mask Team.

"Kumpulan 6ixth Sense masih ada dan kami juga sedang menyiapkan album terbaharu.

"Saya bergerak solo kerana genre yang berbeza tak sama seperti bersama kumpulan, ujarnya.

Adi Priyo, 6ixth Sense

Artikel Lain