PELAKON Rita Rudaini meluahkan rasa syukur dan gembira apabila kucing kesayangannya yang hilang lima hari lalu ketika berada di bawah jagaan seorang kenalan ditemui semula kira-kira pukul 2.50 pagi Khamis. Rita, 42, berkata, kucing bernama Pekan itu ditemui dalam keadaan letih, murung dan kurus. “Alhamdulillah terima kasih tidak terhingga kepada Sarjan Rahmat dan semua polis di Balai Polis Semenyih kerana menyelamatkan Pekan. “Saya rasa gembira bila dihubungi dan diberitahu berita ini. Pekan dalam keadaan letih, murung dan kurus,” ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Rita kesal 'Pekan' hilang ketika dijaga kenalan Dalam pada itu, Rita turut berterima kasih kepada seorang individu yang banyak membantunya dalam memberi info tentang kucing berkenaan. Rita berkata, banyak perkara yang meragukan dalam kes kehilangan dan kemunculan Pekan secara tiba-tiba. “Allah hantar seorang yang mulia hatinya, dia banyak membantu dalam memberi maklumat tentang Pekan. Semoga Allah membalas jasa baik adik dan keluarga. “Ada hikmah saya post perkara ini di Instagram untuk viralkan, tiba-tiba Pekan muncul, misteri, suratan atau kebetulan,” ujarnya. Tambah Rita, dia masih belum berpuas hati dan mahu membawa kes tersebut ke peringkat seterusnya. “Saya mahu pihak polis terus menyiasat kes tersebut dan ambil tindakan sewajarnya. Siasat sampai terungkai kebenarannya,” ujarnya. Sebelum ini, Rita mendedahkan kucing kesayangannya hilang daripada jagaan seorang kenalan yang meminjam kucing itu untuk tujuan pembiakan.