suria

Hajat Linda Rafar nak bawa ibu tengok laut tidak kesampaian

Linda rasa sedih dan rindu pada arwah ibunya.

PELAKON dan penyanyi Linda Rafar meluahkan rasa sedih dan rindu terhadap ibunya, Allahyarhamah Rasimah Abd Rahman yang telah dijemput Ilhami pada Jumaat malam.

Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 41, berkata dia terasa seperti ibunya masih ada di rumah, ketika mereka seronok merancang percutian untuk melihat laut.

Namun, Linda reda dengan pemergian ibunya dan menganggap kini arwah dapat berehat melihat keindahan syurga.

"Allahuakbar... Bila semua dah balik Linda rasa sebak, sunyi dan rindu sangat kat mak. Terasa macam mak ada saja lagi dalam rumah ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Linda Rafar meninggal dunia


Linda luah rasa rindu pada ibunya.

"Bangun pagi nak buat air dan minum dekat depan ini. Tengok keadaan dia semakin sihat. Seronok sangat dan rancang nak bawa dia tengok laut.

"Mak pun seronok cakap nak pergi rehat tengok laut. Tapi sekarang Allah sayang mak dan ambil mak dulu. Nak bagi mak rehat tengok syurga Firdaus Insya-Allah. Ya Allah kuatkan kau," katanya.

Luahan tersebut ditulis menerusi laman Instagram Linda pada pagi, Ahad berserta video keadaan ruang tamu rumahnya.

Linda mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam, kira-kira pukul 9.50 malam, Jumaat.

Linda sentiasa menjaga arwah ketika berada di hospital.

Sebelum ini, Rahimah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama kerana gigitan serangga dan menjalani pembedahan akibat jangkitan.

Minggu sebelum itu, arwah pernah mengadu sakit pada bahagian tangan kiri sebelum doktor memberitahu jangkitan kuman sudah merebak ke dalam darah.

Pada 12 Disember tahun lalu, tangan kiri ibu Linda terpaksa dipotong akibat komplikasi berkenaan kerana ia sudah merebak ke dalam darah.

Selain Linda, keluarga Rafar lain yang turut terlibat dalam dunia seni antaranya Diana, Anita dan Aliza.

Linda Rafar

Artikel Lain