suria

“Cukuplah... Saya dah tak mahu hidup dalam kontroversi” - Adira

Adira tampil dengan single terbaharunya yang berjudul Pujaan Hati. Foto NUR ATHIRAH FARHANA

NAMA penyanyi Adira Suhaimi sebelum ini cukup sinonim dengan gosip dan kontroversi termasuk perkahwinannya bersama usahawan Datuk Seri Adnan Abu pada 2015 sebagai isteri kedua.

Semenjak itu pelbagai cerita kurang enak bertebaran mengenainya sehinggakan kerja seni dia dilihat tenggelam dek kerana isu melanda dirinya.

Enggan lagi menoleh kebelakang, Adira, 28, berkata, dia sudah serik hidup dalam kontroversi dan ingin meletakkan nokhtah kepada perkara itu.

Katanya, kedatangan 2019 dia berazam untuk tidak dikenali dengan cerita-cerita kurang enak termasuk perihal rumah tanggannya dan ingin memberi fokus kepada karier seninya.

Adira sudah tidak mahu dikaitkan dengan sebarang kontroversi.

"Cukuplah... Saya sudah tidak mahu hidup dalam kontroversi... Mungkin sebelum ini saya boleh pejam sebelah mata dan memekakkan telinga tentang apa yang diperkatakan tentang saya.

"Tetapi sekarang sudah berbeza... Saya sudah bersuami dan mempunyai dua cahaya mata. Saya tidak mahu keluarga terkena tempiasnya lagi.

"Insya-Allah selagi termampu saya akan elakkan cuma kalau isu yang bukan saya mulakan itu saya tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Adira ditemui pada sidang media pelancaran single dan muzik video terbaharunya berjudul Pujaan Hati yang diadakan pada Rabu.

Adira  (dua, kanan) bersama (dari kiri) Ikhwan Fatanna, Rosmin Hashim dan Arisz Ab Rahman pada pelancaran lagu terbaharunya.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan Left. Kol. Arisz Ab Rahman itu juga adalah lagu runut bunyi drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang sedang disiarkan di TV3.

Dalam pada itu, Adira berkata, hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang seni selepas melahirkan anak keduanya Assan pada September lalu juga dipermudahkan apabila lagu Pujaan Hati mendapat sambutan luar biasa peminat.

Adira berkata, sudah tiba masanya dia memberi fokus kepada karier seninya selepas hampir dua tahun berehat.

"Alhamdulillah... Pada awalnya saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk kembali mendapat tempat dengan Pujaan Hati walaupun lagunya sangat merdu serta kena dengan citarasa saya.

"Kekuatan drama itu banyak membantu mempopularkan Pujaan Hati sehingga trending di Youtube dan saya perlu ambil peluang ini untuk all out bagi merancakkan kembali karier saya," jelasnya.

Adira terharu Pujaan Hati dapat sambutan luar biasa pendengar.

Malah kata Adira, suaminya juga tidak menghalang untuk dia meneruskan karier seni seperti biasa asalkan dia tahu batasan dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Bercakap mengenai Pujaan Hati, Adira yang kini bernaung bawah syarikat rakaman Nova Music memberitahu dia berhadapan cabaran untuk merakamkan lagu itu kerana ingin menampilkan kelainan berbanding lagu balada yang pernah dirakamkan sebelum ini.

"Semua lagu saya sebelum ini berentak balada, jadi bagaimana saya hendak menampilkan kelainan dalam Pujaan Hati... Itu menjadi cabaran buat saya.

"Apa-apa pun syukur pendengar menggemari lagu itu dan seperti kebanyakan penyanyi lain saya juga berharap Pujaan Hati dapat memasuki pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu," ujarnya.

Adira, Pujaan Hati, Pujaan Hati Kanda

Artikel Sebelum

Artikel Lain