suria

Asmidar ‘hilang’ 3 tahun kerana enggan jual cerita sensasi

Asmidar memberitahu dia tidak pernah merajuk dengan industri muzik.

PENYANYI Asmidar mengakui dia memilih untuk menyepikan diri selama tiga tahun daripada bidang seni disebabkan tiada lagu baharu yang ingin dipertengahkan.

Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad, 33, berkata dia tidak mahu hanya 'menjual' cerita sensasi semata-mata mahu namanya sentiasa diperkatakan.

"Saya memang menyepikan diri dan bukan merajuk dengan industri muzik. Mungkin rezeki nak keluarkan single tu tidak kesampaian lagi ketika itu.

"Tahun ini baru saya rasa betul-betul menjadi. Saya sudah menyanyi sejak kecil lagi jadi kalau tak ada lagu pun, saya tetap menyanyi di majlis atau acara.

Asmidar berharap 2019 memberi sedikit cahaya pada karier nyanyiannya.

"Sepanjang tiga tahun saya tak ada single nak ditengahkan. Tak nak la hanya menjual cerita-cerita sensasi. Jadi, saya rasa bila ada sesuatu baru berani ke hadapan," katanya kepada mStar Online.

Asmidar ditemui ketika sidang media Konsert Retro di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kali terakhir juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama ini mengeluarkan single berjudul Pulanglah, Ku Pohon Restu Ayah Bonda pada 2015.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Biar Sampai Ke Bintang ini berharap tahun 2019 memberi sinar cahaya untuk karier nyanyiannya.

Asmidar bakal beraksi di pentas yang sama dengan penyanyi terkenal era 90-an di Konsert Retro pada 1 dan 2 Februari depan di Istana Budaya.

"Alhamdulillah, saya baru sahaja keluarkan single berjudul Haruskah dan dalam pada masa yang sama single kedua saya pun akan keluar.

"Tahun ini saya keluarkan dua lagu dan salah satu berduet dengan penyanyi baharu bernama Joe untuk lagu runut bunyi sebuah drama.

"Saya memang berharap tahun ini beri sedikit cahaya untuk saya sebab nak kembali aktif. Semua saya serahkan kepada Allah dan mencuba yang terbaik," ujarnya.

Asmidar, Konsert Retro

Artikel Lain