KUMPULAN Ruffedge menafikan mereka meminta bayaran tinggi iaitu sebanyak RM40,000 untuk satu persembahan nyanyian selepas setahun kembali aktif dalam industri seni. Salah seorang anggotanya, Sein berkata, bayaran persembahan mereka tidak setinggi itu, namun berpatutan dengan enam orang ahli selain melihat kepada pencapaian mereka yang sudah 10 tahun dalam industri. "Angka itu tidak benar tapi jika ia betul apa salahnya. Kadar harga kami tidak setinggi itu tapi boleh dikatakan berpatutan dengan kami berenam. "Kalau yang ada kata terlalu tinggi mereka perlu lihat kami dari sudut pencapaian dan berapa lagu yang hit sepanjang 10 tahun. Kami bukan one hit wonder," ujarnya kepada mStar Online. Ruffedge ditemui pada majlis pelancaran single baharu mereka berjudul Seperti Mereka yang diadakan di Menara TSR, pada Selasa. Sein, anggota kumpulan Ruffedge Kumpulan itu turut dianggotai oleh Cat Farish, Azan, Zain, Mode dan Amir. Dalam pada itu, bercakap tentang single tersebut Azan berkata, ia merupakan lagu yang dihasilkan pada tahun 2007 dan dirakam semula tahun lalu. Kata Azan, lagu tersebut dicipta untuk Zahid selepas keluar dari program Akademi Fantasia musim kedua (AF2), namun proses lagu itu tidak berjalan lancar. "Lagu itu sepatutnya dalam album Zahid tapi album tersebut tidak dapt dipromosikan berikutan masalah syarikat pengurusannya ketika itu sudah tutup. "Sayang sebab lagu ini sedap dan tidak makan zaman, kami ambil dan membuat rakaman baharu dengan susunan semula oleh Helen Yap," ujarnya. Muzik video lagu Seperti Mereka turut dilancarkan dan boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music bermula 22 Januari ini. Menariknya, muzik video tersebut turut menampilkan beberapa video perkahwinan daripada beberapa yang terpilih. "Kita adakan pertandingan di media sosial tahun lalu dan mengumpul beberapa video perkahwinand dan pertunangan peminat. Video yang terpilih kami muatkan secara eksklusif pada muzik video ini," ujarnya.