suria

NJWA selesa bekerjasama dengan suami sendiri

NJWA selesa bekerjasama dengan suami, Idris Koh.

PENYANYI NJWA atau sebelum ini dikenali Najwa Mahiaddin lebih selesa bekerjasama dengan suaminya iaitu Idris Koh Keng Hui yang juga seorang pengarah muzik.

Ini kerana kata NJWA, Idris bukan sahaja seorang yang berpengalaman malah sangat memahami arah tuju karier muziknya selain sering melontarkan idea dan pandangan.

"Kami sudah bekerjasama sebelum berkahwin lagi dan suami sangat memahami apa yang saya mahukan apabila berkaitan dengan muzik.

"Adakalanya ada juga kami tidak sependapat tapi kebiasaannya semua berkaitan dengan kerja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: NJWA pinjam semangat bapa bawa muzik tradisional ke peringkat antarabangsa

NJWA bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.

NJWA, 33, ditemui pada sidang media konsert International Woman's Day yang diadakan pada Rabu lalu.

Konsert pada 22 Mac depan itu bakal memperlihatkan NJWA berkongsi pentas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dengan penyanyi Zee Avi.

Bercakap mengenai konsert itu, NJWA berkata, suaminya akan turut bertindak sebagai pengarah muzik selain teruja dapat menampilkan band iringannya pada persembahan itu.

Kata NJWA, dia juga gembira dapat bergandingan dengan Zee yang juga sahabatnya sejak 10 tahun lalu kerana tidak pernah berkesempatan berbuat demikian.

NJWA bakal berkongsi pentas dengan Zee Avi.

"Untuk konsert ini nanti Insya Allah saya akan menyampaikan lebih 10 buah lagu dan saya paling teruja dapat menampilkan band iringan yang menjadi tulang belakang saya selama ini pada konsert itu.

"Begitu juga dengan Zee, walaupun sudah 10 tahun kami kenal tapi sepanjang tempoh itu kami tidak pernah dapat peluang untuk mengadakan persembahan bersama-sama," katanya.

Tambah NJWA, apabila ditawarkan pihak penganjur untuk menjayakan konsert ini dia terus bersetuju kerana melihat ia adalah peluang terbaik untuk menghiburkan peminat selain ia mengangkat mesej bersempena Hari Wanita.

Dalam perkembangan lain, NJWA berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya, Take Love Back pada awal Mac selain sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya.

Tiket bagi menyaksikan International Women's Day with Zee Avi dan NJWA dijual pada harga RM88, RM128, RM188, RM228, RM288 dan RM388 (Meet and Greet) dan boleh didapati di airasiaredtix.com.

NJWA, Zee Avi

Artikel Lain