suria

Simpati penderitaan Ebby Yus, pelawak bersatu hati cari dana

Ajak (Shiro) sedang dalam usaha mengumpulkan dana daripada rakan pelawak bagi membantu Ebby Yus yang kesihatannya terjejas.

TERKESAN dengan berita keadaan terkini Ebby Yus yang menderita akibat komplikasi jantung dan buat pinggang, pelawak Ajak (Shiro) memberitahu sedang dalam usaha mengumpulkan dana bagi membantu meringkan beban pelakon senior itu.

Ajak atau Mohamad Hanafi Razak, 33, berkata, dia juga sudah mengutarakan idea itu kepada rakan pelawak yang lain dan rata-rata bermurah hati untuk menyumbang.

"Ebby Yus bukan sahaja seorang pelakon dan pelawak berbakat besar malah sudah kami anggap sebagai mentor yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami generasi baru.

Ebby pernah dimasukkan ke hospital pada 2017 kerana mengalami lemah jantung.

"Apabila mendapat tahu tentang keadaannya terus kami terpanggil untuk membantu maka timbul idea untuk mengumpul dana daripada rakan-rakan seperjuangan dalam bidang komedi.

"Kami mungkin tidak ramai tetapi Insya Allah apabila kami bersatu hati ia pasti dipermudahkan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ajak turut memberitahu dia juga akan menyumbangkan sebahagian wang kemenangannya menerusi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) minggu lalu untuk disalurkan kepada Ebby.

Malah kata Ajak, dia juga terharu apabila rakan-rakan seperjuangan dalam MLM2018 seperti Taman, Zero dan Bocey turut berniat melakukan perkara sama.

Juara MLM 2018... Shiro membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000.

Pada pertandingan itu, Ajak bersama Shahrol menjuarai pertandingan itu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.

Baru-baru ini, media melaporkan Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 55, sudah setahun tidak bekerja akibat jantungnya kembali lemah selain masalah buah pinggang bocor.

Untuk rekod, Ebby pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1998 selain dimasukkan ke hospital sekitar 2015 dan 2017 akibat masalah sama.

Ebby Yus, Ajak, MLM 2018

Artikel Lain