suria

Kecoh Datuk Seri bagi Ayu Damit 4 hektar tanah... Ini penjelasannya!

Ayu nafi ada menerima 10 ekar tanah di Kuala Pilah.

KECOH kononnya penyanyi Ayu Damit ditawarkan tanah seluas  4 hektar (10 ekar) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi membolehkan dia bersama suami mengusakan penanaman cili fetigras.

Menjelaskan perkara itu Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 30, berkata dia mengaku mendapat tawaran berkenaan daripada seorang usahawan bergelar Datuk Seri namun ia sekadar perbincangan lisan sahaja. 

"Tak dapat apa-apa tanah pun lagi. Ia hanya sekadar perbincangan antara ahli-ahli MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selebriti) ketika kami bermesyuarat baru-baru ini.

"Sebenarnya saya tak nak beri kenyataan lebih lanjut mengenai perkara tersebut sebab masih belum ada sebarang pengesahan pun.

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha penyanyi ini harus dijadikan contoh, siapa sangka Ayu Damit kini saudagar cili


Ladang cili yang diusahakan Ayu bersama suaminya.

"Selagi tak ada black and white, saya tak nak bercerita lebih-lebih. Sebab kita pun tak tahu apa akan terjadi selepas ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ayu diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan seorang individu telah meluluskan 4 hektar tanah untuk projek yang bakal diusahakannya bersama suami.

Dia dan suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 31, ketika ini mempunyai tanaman cili fertigasi di ladang berkeluasan 1.4 hektar yang terletak di Batu 22, Hulu Langat.

Juara program One In Million musim kedua ini dan suaminya mula mengusahakan ladang tersebut yang disewakan daripada Orang Asli sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Ayu turut terkejut apabila minit mesyuarat berkaitan tanah itu telah tersebar sedangkan ia sepatutnya hanya ahli sahaja yang mengetahui perkara tersebut.

Ayu masih belajar selok-belok perniagaan.

"Sepatutnya perkara itu minit mesyuarat dan hanya ahli-ahli yang hadir sahaja tahu mengenai tanah tersebut.

"Tak sangka pula benda ini boleh tersebar sebelum ada sebarang pengesahan. Sebab ia sekadar hanya cakap-cakap sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Ayu menganggap apa sahaja yang berlaku selepas ini adalah proses untuk dia mempelajari selok-belok dalam keusahawanan.

"Saya mahu sentiasa berfikiran positif dan tak nak jadi orang negatif. Fokus apa yang saya mahukan. Saya tahu penipuan ada sahaja di luar sana.

"Tapi Alhamdulillah, saya tak pernah lagi ditipu. Apa-apa pun, saya anggap apa yang terjadi selepas ini adalah proses untuk belajar selok-belok usahawan," ujarnya.

Ayu Damit

Artikel Lain