suria

Mamat Khalid masih bergantung kepada alat sokongan, terima kasih bacaan Yasin - Isteri

Mamat Khalid dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada Sabtu.

SELEPAS dua hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), pengarah terkenal Mamat Khalid, 55, menunjukkan perkembangan positif dan semakin stabil.

Isterinya, Hasmah Hassan berkata, suaminya sudah boleh menggerakkan kaki dan membalas genggaman tangan setiap kali bacaan surah Yasin

"Alhamdulillah ada menunjukkan perkembangan positif, ubat sudah berkurangan dan dia boleh menggerakkan kaki. Bila saya baca Yasin dia akan genggam tangan saya.

"Bacaan darah sudah semakin stabil tapi belum boleh membuka alat bantuan penafasan,"ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat Khalid kritikal di ICU

Mamat Khalid tunjuk perkembangan positif.

Pengarah filem bersiri Hantu Kak Limah itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya selepas mengadu sakit dada dan batuk berterusan.

Doktor kemudian memberikannya dos ubat yang membolehkannya berehat.

Sementara itu, Hasmah turut terharu dan bersyukur apabila ramai rakan dan peminat yang mendoakan kesihatannya.

Saya percaya dalam banyak-banyak doa untuknya ada yang Allah makbulkan.

Hasmah Hassan 

Isteri Mamat Khalid

Selain itu, beberapa kariah di masjid membuat solat hajat dan bacaan Yasin termasuk Pejabat Menteri Besar Perak.

"Alhamdulillah, ramai orang sayangkan dia, banyak masjid di sekitar Perak dan Johor melakukan solat hajat dan bacaan yasin untuknya.

"Saya percaya dalam banyak-banyak doa untuknya ada yang Allah makbulkan" ujarnya.

Dalam pada itu, dia percaya suaminya itu seorang yang kuat dan berjuang untuk melawan penyakit itu.

"Buat masa ini saya hanya berdoa yang terbaik. Saya kena kuat dan saya percaya dia juga kuat," ujarnya.

Pada 2014, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil bagi membuka saluran darah yang tersumbat di jantung.

Mamat Khalid

Artikel Lain