suria

Keluarga tiada hajat mahu ‘Baby Iqy’ membesar sebagai pelakon

Mika atau dikenali sebagai Baby Iqy yang mula mendapat perhatian netizen bersama Mira Filzah.

WATAK seorang bayi bernama Baby Iqy dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda mula menjadi bualan penonton yang teruja melihat comel wajah dan keletahnya.

Anna Abdullah Kim, 32, ibu kepada bayi yang nama sebenarnya Ayden Mikael Mohamad Zainuddin, berkongsi pengalaman anaknya ketika menjalani penggambaran drama tersebut.

Menurut Anna, Ayden Mikael atau Mika seorang bayi yang mudah dijaga dan waktu penggambaran akan bertukar jika anaknya mengantuk atau lapar.

Mika seorang bayi yang mudah dijaga.

"Mika seorang anak yang sangat baik. Jadi, dia tak banyak meragam sangat kecuali apabila lapar dan mengantuk barulah dia mengamuk sikit.

"Tapi alhamdulillah pengarah dan kru produksi semua baik-baik dan sukakan Mika. Jadi mereka pun selalu dukung Mika sementara menunggu babak yang memerlukan lakonannya.

"Ada juga waktu Mika tak boleh masuk set sebab meragam tapi selalunya kalau dia mengantuk baru akan waktu penggambaran akan ditukarkan," katanya kepada mStar Online.

Saya dan suami tak ada la nak fokus Mika untuk jadi pelakon. Tapi kalau ada tawaran lepas ni, kami akan teliti terlebih dahulu jadual.

Anna Abdullah Kim

Ibu kepada Ayden Mikael

Drama lakonan Mira Filzah, Remy Ishak, Sarah Hildebrand dan Azar Azmi ini yang mula ditayangkan pada Disember tahun lalu akhirnya tamat pada Isnin.

Dalam pada itu, Anna dan suaminya iaitu Mohamad Zainuddin Azhar, 29, tidak mahu terlalu fokus untuk anak mereka yang kini berusia 9 bulan itu menjadi pelakon.

Namun sekiranya ada rezeki tawaran diberikan, mereka menerima mengikut kesesuaian dan keselesaan kanak-kanak tersebut.

Mika mencuri perhatian penonton menerusi drama Pujaan Hati Kanda.

"Saya dan suami tak ada la nak fokus Mika untuk jadi pelakon. Tapi kalau ada tawaran lepas ni, kami akan teliti terlebih dahulu jadual.

"Supaya mengikut keselesaan Mika dan tidak menganggu proses tumbesaran dia seperti bayi lain. Lagipun buat masa ini, belum ada sebarang tawaran.

"Kami pun tak fokus sangat untuk masuk dalam bidang seni. Tapi kalau dah rezeki, kami ambil sahaja," ujarnya.

Artikel Lain