PENGACARA Eleena Sui mempersoalkan sikap segelintir netizen terutama dalam golongan anak muda yang gemar menggunakan perkataan kesat di laman sosial. Menurut Eleena, 27, sejak kecil lagi dia sudah diajar untuk tidak menggunakan perkataan seperti 'aku' dan 'engkau' di rumah. "Sejujurnya Eleena tak faham dengan mentaliti rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda. Kenapa ya suka sangat menggunakan perkataan kesat? ARTIKEL BERKAITAN: "Suara bodoh tu macam mana?" - Nabila Razali sedia dikecam bukan dengan perkataan kesat Eleena berasa hairan dengan sikap segelintir netizen yang gemar menggunakan perkataan kesat. "Adakah ibu-bapa mereka tidak mengajar di rumah ataupun cikgu mereka yang harus dipersalahkan. "Sejujurnya, waktu Eleena kecil, bila bapa Eleena dengar Eleena guna perkataan 'Aku/Engkau' di rumah, memang kenalah lepas tu," katanya. Eleena berkata demikian di laman Instastory bagi mempertahankan rakannya iaitu penyanyi Nabila Razali yang dikecam netizen menggunakan kata-kata kesat. Nabila menerusi laporan mStar Online pada Khamis memberitahu dia boleh menerima kritikan negatif namun bukan dengan menggunakan perkataan tidak elok. Eleena tampil mempertahankan Nabila. Dalam pada itu, pelakon drama Suri Hati Mr Pilot ini meminta netizen untuk mengunci mulut sekiranya tidak ada apa untuk diperkatakan. Malah, dia turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyebarkan perkataan yang baik dan berubah untuk negara yang lebih baik. "Ayuh Malaysia. Bahasa melambangkan bangsa dan peribadi. Seandainya anda tidak mempunyai apa-apa yang baik untuk dikatakan, lebih baik anda kunci mulut anda (Elak dari taip yang bukan-bukan). "Sebarkan perkataan-perkataan yang baik dan mari kita ubah untuk Malaysia yang lebih baik," ujarnya.