PENYANYI Sissy Imann memberitahu biarpun bapanya atau mesra dipanggil ayahanda sentiasa mengikut ke mana sahaja namun dia masih diberikan kebebasan untuk membuat keputusan atau aktiviti. Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 24, berkata ayahandanya tidak pernah menyekat aktiviti, kawan atau lelaki yang cuba mendekatinya. "Ayahanda memang sentiasa ikut saya ke mana-mana sahaja. Saya pula bukan seorang yang suka melepak dan hanya akan keluar untuk kerja atau majlis seperti sambutan hari lahir. Sissy Imann bersama ayah iaitu Mohammad Kamil. "Kalau nak keluar mana-mana sudah semestinya saya akan tanya ayahanda dulu. Walaupun dia sentiasa ada dengan saya, tapi dia tak pernah menyekat saya untuk buat keputusan sendiri atau melakukan aktiviti. "Ayahanda kenal kawan-kawan saya dan dia pun tak menghalang kalau ada lelaki nak berkenalan tapi apa-apa pun saya mesti kenalkan lelaki itu kepada ayahanda,” katanya kepada mStar Online. Sissy ditemui ketika sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Pesanan Ayahanda di Warner Music Sdn Bhd, Petaling Jaya, pada Khamis. Dalam pada itu, Sissy berkata lagu terbaharu gabungan ciptaannya dan komposer Ezra Kong, Mike Chan, Faizal Tahir dan Romeo khas buat bapanya yang sentiasa memberi sokongan. "Sebenarnya saya memang dah ada dua simpanan lagu untuk ayahanda. Tapi ketika bertemu dengan Mike dan komposer yang lain mereka dapat idea untuk cipta lagu mengenai ayah selepas melihat keakraban saya dengan ayahanda. "Jadi, lagu terbaharu ini saya mahu dedikasikan untuk ayahanda dan semua ayah di luar sana serta orang yang sedang bercinta," ujarnya. Muzik video lagu Pesanan Ayahanda yang telah dilancarkan di saluran YouTube pada Khamis juga menampilkan ibu dan bapa bekas peserta program Big Stage itu.