suria

Suliza Salam sayu dengar ‘Bidadari’, dia faham isi hati Ismail Izzani

Akrab... Ismail Izzani sangat rapat dengan ibunya, Datin Suliza Salam yang juga merupakan penyanyi era 1980-an. Foto Instagram @ismailizzani

IBU kepada penyanyi sensasi Ismail Izzani iaitu Datin Suliza Salam tersentuh dan berasa sayu apabila mendengar lagu terbaharu anaknya berjudul Bidadari yang ditujukan khas kepadanya.

Suliza yang juga penyanyi era 1980-an berkata, menerusi lagu itu, dia dapat menyelami isi hati sebenar Ismail berhubung perasaan terhadap dirinya.

"Apabila kali pertama mendengar Bidadari hati saya jadi sayu kerana menerusi lirik lagu itu saya dapat memahami isi hati anak saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu peluk Zarina bikin Ismail tak tenang, sukar tidur malam

"Biasalah anak lelaki ini jarang hendak meluahkan perasaannya kepada ibu dan saya sendiri kadang-kadang sukar hendak membaca apa di dalam hatinya.

Ismail mendedikasikan single terbaharunya berjudul Bidadari kepada ibunya.

"Tetapi lagu itu membuatkan saya tersentuh sekali gus dapat menyelami perasaannya," kata Suliza.

Bidadari  ialah ciptaan Ismail sendiri bersama Omar K, Adib Hamdi dan Altimet yang sehingga kini sudah pun mendapat 6.4 juta tontonan di YouTube.

Dalam pada itu, Suliza memberitahu dia terharu apabila Ismail mendedikasikan Bidadari khas buatnya dan menganggap ia hadiah istimewa daripada seorang anak kepada seorang ibu.

Hidup ini tiada siapa lari daripada melakukan kesalahan namun saya lihat dia semakin matang dan positif selepas insiden itu.

DATIN SULIZA SALAM

Ibu Ismail Izzani

"Sebagai ibu sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana dia ingat kepada saya dan dedikasikan lagu itu kepada saya," ujarnya.

Sementara itu, Suliza berkata, selepas beberapa kontroversi menyelubungi anak kesayangannya itu tahun lalu, dia melihat Ismail semakin matang dan memberi fokus kepada kariernya sebagai penyanyi.

Ismail turut melancarkan single berbahasa Inggeris berjudul Save Me.

Pun begitu Suliza memberitahu, sebagai ibu dia sentiasa menasihati dan berpesan kepada Ismail agar sentiasa menjaga diri dan mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku sebelum ini.

"Hidup ini tiada siapa lari daripada melakukan kesalahan namun saya lihat dia semakin matang dan positif selepas insiden itu.

"Dia lebih komited dan fokus kepada kerjayanya namun sebagai ibu sudah tentu perasaan bimbang itu sentiasa ada.

"Saya sentiasa berdoa dan menasihati dia agar menjaga diri dan positif dalam apa juga dia lakukan," ujarnya.

Suliza Salam, Ismail Izzani, Bidadari

Artikel Lain