suria

Amira Othman sanggup tahan kentut demi menjaga wuduk dan memudahkan solat

Amira sudah membiasakan diri mengambil wudhuk sebelum keluar rumah.

PENYANYI Amira Othman memberitahu sejauh mana jahat atau nakal seseorang itu, mereka wajib menunaikan solat lima waktu walaupun dalam keadaan terpaksa.

Menurut Amira, 26, dia sudah membiasakan diri mengambil wuduk sebelum keluar rumah untuk bekerja supaya memudahkannya menunaikan kewajipan tersebut.

"Yang pertama sekali, apa pun yang awak buat, jahat macam mana pun awak, nakal macam mana pun awak. Solahlah! Walaupun terpaksa!

"Solat solat solat jangan tinggal walaupun awak suka solat hujung waktu ke tapi JANGAN TINGGAL SOLAT. Yang kedua, sebelum keluar rumah saya dah biasakan ambil wuduk.

Amira berkongsi cara dia menjaga wudhuk dan solat ketika keluar rumah.

"Jadi saya akan sentiasa jaga walaupun tak tahan nak kentut. Memang tak elok tapi sebab saya bersolek berinci-inci kalau kerja," katanya.

Amira berkongsi perkara itu menerusi laman Instastory selepas menerima pertanyaan daripada peminat yang ingin tahu cara dia menjaga wudhuk dan solat dengan memakai solekan di wajah.

Tambah penyanyi lagu Hati-Hati ini, dia sentiasa menyediakan tisu basah dan barangan solekan di dalam kereta jika wudhuk yang diambil terbatal.

Katanya, biarpun kadang-kala dia terlupa membawa telekung namun itu bukan alasan untuk tidak solat kerana setiap surau atau masjid mempunyai kelengkapan tersebut.

Amira hanya berkongsi pendapat dan pengalamannya.

"Saya dah sediakan wipes, barang solekan dalam kereta, sekiranya wudhuk batal, kena la bersolek balik! Saya ke mana-mana saya bawa saja pencuci solekan.

"Telekung pun saya bawa ke hulu ke hilir dalam kereta, tapi kadang tertinggal juga bila pergi pusat membeli-belah. Tapi tak ada alasan la sebab semua surau dan masjid kat Malaysia ada telekungkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Amira menjelaskan apa yang dikongsi itu hanyalah pendapat serta pengalamannya dan peminat boleh bertanya kepada ustaz atau ustazah untuk mendapatkan fakta yang tepat.

Tegas pelakon drama Abang Bomba I Love You ini, biarpun seseorang itu menjaga solat lima waktu namun belum tentu dapat masuk syurga.

Amira Othman.

"Apa pun tu semua pendapat saya, Wallahualam. Boleh tanya ustaz ustazah untuk jawapan yang tepat. Saya kongsi berdasarkan pengalaman sahaja. Saya sumpah tak baik, banyak sangat dosa.

"Aib saya semua Allah tutup tapi saya takut kalau tak solat lagi jauh, sedangkan kita solat lima waktu pun belum tentu masuk syurga, apatah lagi kalau tak solat.

"Kalau kita tak solat tentu kita makin jauh dengan Allah walaupun kat dunia macam-macam kita dapat. Takut kan? Mudah-mudahan kita semua ingat yang solat itu sentiasa menjadi tiang agama," katanya.

Amira Othman

Artikel Lain