suria

Daus (AF8) beri penjelasan cerai isteri dalam pantang

Daus sudah bercerai talak satu dengan isteri, Syaza Shamimi di Mahkamah Syariah Bintulu pada Jumaat. Foto Instagram @daus_eli_official

BEKAS peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) Daus menerima kecaman selepas mendedahkan dia bercerai talak satu pada pagi Jumaat dengan Syaza Shamimi Jalaludin Khan yang baharu dua minggu melahirkan anak ketiga mereka.

Daus atau Muhd Shahril Firdaus Eli, 31, berkata, masyarakat boleh membuat apa sahaja andaian mengenai perceraiannya namun menegaskan keputusan itu dibuat selepas berbincang secara mendalam dengan bekas isterinya itu.

"Sebenarnya rumah tangga kami sudah lama tidak bahagia iaitu sebelum bekas isteri hamil anak ketiga kami lagi.

"Sejujurnya siapa yang mahukan perceraian, tambahan pula anak-anak masih kecil tetapi bekas isteri tetap dengan pendiriannya... Untuk tidak memanjangkan isu rumah tangga kami saya bersetuju untuk menceraikannya secara baik.

"Keputusan ini dibuat pun selepas kami berfikir masak-masak, berbincang termasuklah merujuk kepada keluarga namun nampaknya jodoh kami hanya setakat ini," katanya kepada mStar Online.


Tinggal kenangan... Daus reda dengan perceraiannya. 

Daus dan Syaza, 32, bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, Sarawak dengan talak satu.

Pasangan itu berkahwin pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz yang kini berusia lebih dua minggu.

Dia popular dengan lagu Kenapa.

Mengulas mengenai perceraiannya, Daus memberitahu perceraian itu terjadi disebabkan tiada lagi persefahaman ekoran terpaksa berjauhan namun menolak faktor kewujudan orang ketiga.

Bagaimanapun kata Daus, dia tidak menyalahkan bekas isterinya dan menganggap apa yang berlaku adalah suratan takdir dan fokusnya kini adalah membesarkan tiga anak mereka.

"Saya hendak ulas banyak pun banyak hati yang perlu saya jaga tetapi hubungan jarak jauh itulah punca timbulnya masalah dalam rumah tangga kami.

"Apa yang penting kami bercerai secara baik dan fokus adalah untuk besarkan ketiga-tiga anak kami supaya mereka tidak terabai.

"Sekiranya jodoh kami panjang... Saya terbuka hati untuk kembali rujuk dan berharap masyarakat mendoakan yang baik-baik buat kami," katanya yang bekerja di Bintulu, Sarawak dan bekas isterinya berada di Kuala Lumpur.

Dia bagaimanapun berhasrat berpindah ke ibu negara selepas perceraian itu.

Daus AF8

Artikel Lain