suria

Bukan niat tiru pelamin Elfira, terima kasih doa di Makkah - Sufian Suhaimi

PENYANYI Sufian Suhaimi berterima kasih kepada bekas tunangnya Elfira Loy berhubung doa artis itu agar kemenangannya di Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang berlangsung pada malam Ahad.

Sufian berkata, dia tidak melihat sebarang perkara negatif terhadap status yang dimuat naik di Twitter itu malah menganggap niat Elfira adalah baik.

“Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik. Pada saya niat itu baik... Tiada apa yang silap pun dalam twit tersebut,” katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Doa Elfira di Makkah agar Sufian menang dan ‘deritanya’ habis dikritik netizen

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Haram’ juara AJL33, Hael Husaini dan Ezra Kong rangkul anugerah dua tahun berturut-turut


Status Elfira di Twitter.

Pada malam kemuncak itu, Sufian dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu Di Matamu yang menyentuh hati penonton apabila dia memaparkan gambar pelamin seakan-akan pelamin persandingan milik Elfiran ketika pernikahannya 1 Januari lalu.

Menerusi status berkenaan, Elfira berharap Sufian mendapat kemenangan sekali gus menutup cerita derita hubungan mereka yang tidak kesampaian.

Dalam pada itu, Sufian menjelaskan persembahan itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan memohon maaf sekiranya ada yang terasa hati.

Elfira dan suami kini sedang mengerjakan ibadah Umrah.

Sufian turut menyangkal dia mengambil kesempatan atas kisahnya dengan Elfira dan cuba memalukan aktres itu.

“Saya tidak cuba serang sesiapa... Mana-mana pihak yang terasa hati saya mohon maaf.

“Ini memang lagu sedih dan berkaitan dengan putus cinta... Bukan saya seorang sahaja yang pernah mengalami putus cinta, jadi saya cuba menyampaikan sebaik mungkin.

Netizen membandingkan prop persembahan Sufian seakan-akan serupa pada hari perkahwinan Elfira.

Tambah Sufian, dia enggan memberi perhatian kepada perkara negatif sebaliknya ingin kekal positif dalam hal tersebut.

“Isu twit sindir, komen negatif pada saya ia perkara remeh dan ia tidak menjadi perhatian saya.

“Sebenarnya masih banyak komen positif dan itu lebih menarik perhatian saya,” ujarnya.

Bercakap mengenai dakwaan persamaan prop digunakan dengan pelamin Elfira, Sufian menjelaskan dia sendiri tidak mengetahui tentang hal itu kerana tidak pernah memberi fokus kepada rekaan pelamin orang lain.

Katanya, pelamin itu hanyalah elemen kejutan kerana ada dua perkara lain yang ingin ditonjolkan iaitu lampu chandelier dan kain putih yang digunakan.

“Saya jujurnya baru tengok pelamin itu pada sesi latihan... Mungkin bukan hobi saya untuk lihat pelamin orang lain.

“Apa-apa pun itu bukan niat saya... Saya letak chandelier itu sebagai melambangkan situasi saya yang terperangkap dan akhirnya bebas.

Sufian menafikan prop pelamin ketika persembahannya ada persamaan dengan pelamin perkahwinan Elfira.

“Kain putih pula melambangkan permulaan baru dan pelamin itu elemen kejutan,” jelasnya.

Sufian pernah bertunang dengan Elfira Loy pada 6 Oktober 2017 dalam sebuah majlis pertunangan besar-besaran, namun berakhir pada 18 Februari 2018.

Elfira kemudian memilih ahli perniagaan Muhamad Faris sebagai suami dan dinikahkan dalam sebuah majlis pada Januari lalu.

Artikel Lain