suria

'Haram' tampil kelainan, lagu lain klise masih terikut acuan 90-an - Azmeer

Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah tidak menyangka bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33). Foto AFIQUE YUSOFF

KEMENANGAN lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berjudul Haram di Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang berlangsung pada Ahad malam mendapat reaksi berbeza-beza daripada penggemar muzik tempatan.

Ada yang menganggap lagu nyanyian Hael dan Dayang Nurfaizah itu layak menggondol trofi itu dan tidak kurang yang memberi pendapat sepatutnya lagu lain lebih layak menggenggam trofi berprestij itu.

Ketua juri AJL33 yang juga komposer, Azmeer menjelaskan pemilihan Haram dibuat kerana ia menepati semua syarat-syarat, selain menyifatkan lagu itu adalah contoh karya yang mempunyai inovasi dan pembaharuan dari segi melodi dan susunan.

Kata pemilik nama Mohd Azhar Abu Bakar ini, tekstur Haram dan bunyi lagu tersebut segar berbanding lagu lain yang kekurangan keaslian, selain masih terikut-ikut dengan melodi era 1990-an.

Ini adalah kemenangan kali kedua berturut-turut gandingan Hael dan Ezra.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Haram’ juara AJL33, Hael Husaini dan Ezra Kong rangkul anugerah dua tahun berturut-turut

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Assalamualaikum’ buka peluang Ezra Kong dalam arena muzik Melayu

"Dalam penjurian, kami mencari kelainan dan pembaharuan dalam lagu yang bertanding dan Haram menepati semua ciri-ciri tersebut.

"Melodinya sedap selain tekstur muziknya jelas menampakkan ada elemen inovasi dan pembaharuan berbanding lagu lain yang ada di antaranya klise dan masih mengikut acuan muzik era 1990-an.

"Harus diingat, AJL bukan pertandingan nyanyian tetapi untuk mengangkat komposer dan penulis lirik. Itu fokus kami dalam menentukan pemenang," katanya.

Kemenangan Haram adalah kali kedua buat gandingan Hael dan Ezra apabila pada edisi AJL32 mereka turut bergelar juara menerusi lagu Jampi.

Vokal terbaik milik Misha Omar.

Mengulas mengenai pemilihan Misha Omar menerusi kategori Vokal Terbaik, Azmeer berkata, ia adalah kemenangan mudah buat penyanyi lagu Sampai Bila itu.

Ini kerana kata Azmeer, peserta lain pada malam itu kebanyakannya lemah dari segi nyanyian dengan melakukan pelbagai kesilapan walaupun ada di antara mereka mempunyai pengalaman luas.

"Misha memang menang mudah kerana yang lain-lain banyak melakukan kesilapan... Mungkin kerana kurang stamina atau teknik yang tidak betul.

"Kalau boleh saya hendak jumpa mereka seorang demi seorang dan 'piat' telinga mereka kerana ramai yang berpengalaman tapi masih lakukan kesilapan," ujarnya.

Untuk rekod, ini adalah kemenangan ketiga Misha menerusi kategori sama iaitu pada AJL18 dan AJL19.

Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri itu turut mendapat tempat ketiga sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Artikel Lain